X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19: Orang asli masih tunggu dan lihat

Shahrani (kiri) menyambut warga emas Bubot Tahat, 84, yang akan menerima suntikan vaksin.
A
A

PORT DICKSON - Kebanyakan masyarakat orang asli di Negeri Sembilan masih bersikap tunggu dan lihat sebelum mereka bersetuju menerima vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka, Shahrani Idderis berkata, setakat Ahad lalu, daripada 4,648 borang pendaftaran vaksin yang diedarkan, 1,995 yang dipulangkan dan hanya 857 yang bersetuju untuk divaksin.

"Kami percaya yang mereka ini bukan tidak mahu tapi ambil pendekatan tunggu dan lihat. Pada masa sama, mereka ada perasaan takut dan beri alasan mereka selamat kerana tinggal di kampung.

"Ia juga bergantung pada trend dalam kampung itu. Jika di kampung itu ramai yang setuju divaksin, semuanya akan setuju," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Program Imunisasi Covid-19 di Kampung Orang Asli Bukit Kepong di sini, pada Rabu.

Berkenaan program diadakan, beliau berkata, ia merupakan program pertama yang dianjurkan Jakoa di negeri itu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson.

Ujarnya, ia menunjukkan perkembangan positif apabila daripada 123 orang yang layak divaksin di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, 90 daripadanya bersetuju berbanding pada awalnya 83 orang.

"Bila kami buat program pemberian vaksin di kampung orang asli itu sendiri, mereka secara terbuka dan sukarela datang apabila melihat rakan-rakan lain telah divaksin.

"Saya harap mereka yang telah divaksin ini boleh cerita pengalaman pada penduduk kampung lain sekali gus dapat mengubah fikiran mereka yang tak setuju sebelum ini," katanya.

Sementara itu katanya, daripada 15,464 masyarakat orang asli di Negeri Sembilan yang membabitkan 69 buah kampung, seramai 8,167 yang layak divaksin.

Berdasarkan rekod, setakat ini 50 orang asli di Negeri Sembilan disahkan positif Covid-19 sejak tahun lalu.

"Memang mereka ini tinggal di kampung, tapi ada yang kerja kilang di luar dan terdedah kepada risiko dijangkiti," katanya.

.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!