Kerajaan digesa laksana moratorium automatik hingga Disember

Ahmad Yazid Othman
Ahmad Yazid Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Islam menggesa kerajaan melaksanakan moratorium automatik dan tanpa syarat ke atas semua jenis pinjaman sehingga hujung Disember ini atau sehingga negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

Koordinator Gabungan NGO Melayu dan Islam, Ahmad Yazid Othman berkata, moratorium tersebut merupakan langkah minimum yang perlu dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan perlu memperluaskan moratorium pinjaman tersebut termasuk sektor peminjam berlesen dan penjualan secara kredit atau segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) selama tempoh moratorium tersebut berkuat kuasa.

“Selain moratorium pinjaman automatik ini, kerajaan juga perlu melaksanakan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

“Pemberian subsidi upah untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sekurang-kurangnya enam bulan tanpa potongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada semua bentuk premis sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Yazid berkata, kerajaan juga perlu melaksanakan pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan kepada PMKS.

Tambah beliau, cadangan lain termasuk memperkenalkan Waktu Anjal Bekerja (WAB) ke dalam Akta Pekerjaan 1950 dan menggunakan kuasa darurat untuk mengarahkan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat kewangan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga harus memastikan kesemua dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bank dan pusat zakat dapat digunakan sebaiknya agar tiada rakyat menderita kelaparan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, menyediakan dana pusingan sekurang-kurangnya RM8 bilion untuk pemulihan dan pembangunan PMKS yang akan dikendalikan secara bersama oleh Kementerian Kewangan dan NGO Ekonomi Melayu Perdana,” katanya.

Justeru, Ahmad Yazid berkata, pihaknya yakin dengan saranan moratorium automatik dan tambahan cadangan yang diberikan, Pelan Pemulihan Covid-19 akan menjadi lebih berkesan.