X

Kindly register in order to view this article
!

Harga MSM mungkin cecah RM3,800 satu tan pada suku ketiga, keempat

Laporan prospek komoditi OCBC Bank menunjukkan MSM mencecah paras RM3,612 setan metrik pada suku pertama 2021. - Foto AFP
A
A

KUALA LUMPUR - Harga minyak sawit mentah (MSM) mungkin mencecah RM3,800 setan metrik pada suku ketiga dan keempat 2021, membawa kepada purata harga RM3,678 setan metrik tahun ini bagi komoditi tersebut, kata OCBC Bank.

Laporan prospek komoditi bank itu bagi 2021 yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan MSM mencecah paras RM3,612 setan metrik pada suku pertama 2021 dan dijangka mencecah RM3,500 setan metrik pada suku kedua 2021.

Ahli Ekonominya, Howie Lee berkata, bank tersebut menjangka stok penutup Lembaga Minyak Sawit Malaysia berada di bawah dua juta tan metrik sepanjang tahun, berikutan gangguan bekalan disebabkan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Ini ditambah dengan meningkatnya keperluan untuk menambah stok minyak sayuran di China dan India,” katanya.

Howie bagaimanapun, melihat penurunan di sektor kacang soya mengehadkan kenaikan seterusnya MSM.

Mengenai prospek minyak mentah, OCBC mengunjurkan Brent Crude, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak melonjak kepada AS$80 (AS$1= RM4.11) setong pada akhir tahun.

“Kami tidak menjangkakan harga minyak mentah kembali ke paras AS$100 setong, sebaliknya kami menjangka ia meningkat kepada AS$80, kemungkinan pada akhir 2021, kerana kami menjangka bekalan daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya mula kembali bermula 2022,” katanya.

Menurutnya, keseimbangan bekalan global dijangka kekal defisit sepanjang 2021, tetapi mungkin kembali kepada lebihan pada 2022.

“Berbanding pelan tindakan 2050 terkini Agensi Tenaga Antarabangsa, kami menjangka pelaburan dalam aktiviti eksplorasi minyak dan gas berterusan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Mengenai emas, OCBC percaya harga logam bernilai itu mencecah AS$1900 seauns dan dijangka mengakhiri tahun ini sekitar AS$1800 seauns sebelum stabil pada AS$1500 seauns pada akhir 2022.

“Sudah pastinya walaupun perlahan, kita akan melihat kecenderungan ke arah peningkatan kadar oleh bank-bank pusat global.

“Tidak ada yang lebih penting kepada emas daripada pendirian normalisasi kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat tetapi data ekonomi kelihatan agak kukuh, tekanan meningkat ke atas kadar faedah sebenar AS akan menekankan lagi aliran keluar dana daripada emas kepada aset berisiko,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!