X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Mahu Terengganu kembali meriah, pengusaha bot penambang ambil vaksin

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Resah mengenangkan hampir dua tahun ‘bergelumang’ dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan terjejas teruk, seorang pengusaha bot penambang nekad mendapatkan suntikan vaksin sebagai usaha menghentikan penularan jangkitan itu.

Razali Abdul Ghani, 71 berkata, dia mengenepikan perasaan takut ekoran pelbagai persepsi negatif mengenai vaksin yang didengarinya dan mengambil suntikan tersebut kerana mahu melihat Terengganu kembali meriah dengan kehadiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Mula-mula takut juga sebab ada orang cerita macam-macam pasal vaksin. Tetapi selepas pakcik sendiri menerima suntikan tanpa mengalami kesan sampingan yang teruk, jadi apa yang pakcik fikir mengenai vaksin kini telah berubah. Kita jangan lekas percaya dengan berita-berita palsu mengenai vaksin.

“Pakcik pun nasihatkan mereka di luar sana terutama yang bekerja seperti pakcik, supaya segera mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin, kerana kerja kami ini berhadapan dengan ramai orang dan pelancong yang akan datang dari pelbagai tempat, jadi kami perlu ada perlindungan diri, iaitu vaksin,” katanya di sini pada Selasa.

Razali yang mengusahakan bot penambang sejak 1969 berkata, dia mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera April lalu dan telah mendapatkan suntikan pertama pada 2 Jun serta dijadual mendapat suntikan kedua pada 23 Jun.

Dia berkata, keputusannya untuk mendapatkan suntikan vaksin itu dianggap sebagai sumbangan kecilnya dalam membantu menghentikan penularan jangkitan tersebut di Malaysia dan ingin kehidupannya kembali seperti sedia kala.

“Selalunya petang-petang begini pakcik akan sibuk membawa penumpang yang kebanyakannya pelancong yang ingin merasai pengalaman menyusuri Sungai Terengganu. Pendapatan pun agak banyak iaitu antara RM60 dan RM70 sehari.

“Tetapi sekarang ini sangat sunyi. Penumpang yang ada hanya penduduk sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Itu pun tidak ramai. Kalau sehari boleh dapat dalam RM10 hingga RM20 pun sudah cukup bersyukur,” katanya.

Sementara itu penarik beca, Abdullah Mohamad, 66, mengakui, belum mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin kerana kurang arif menggunakan telefon pintar tetapi berasa tidak sabar untuk mendapatkan suntikan tersebut setelah mendengar pengalaman rakan-rakannya yang telah divaksinkan.

“Ramai juga pengayuh beca di sini yang belum daftar kerana kami tidak tahu bagaimana. Harap dalam masa terdekat ini ada yang membantu kami untuk daftar.

“Vaksin Covid-19 sangat penting, supaya kami lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai dan pelancong, apatah lagi kebanyakan pengayuh beca di negeri ini kebanyakannya warga emas yang berisiko tinggi,” katanya yang telah menjadi pengayuh beca selama 40 tahun. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!