24 pekerja SWM Environment positif Covid-19

Kenyataan daripada SWM Environment berhubung mesej tular.
Kenyataan daripada SWM Environment berhubung mesej tular.
A
A
A

SEREMBAN - SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) mengesahkan seramai 24 pekerjanya positif Covid-19.

Pengurus Besar Korporatnya, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, warga kerja yang disahkan positif dengan wabak itu telah dikuarantin dan mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.

"Perkara ini turut dimaklumkan kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

" SWM Environment juga memohon kerjasama orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak sahih melibatkan pekerja barisan hadapan SWM Environment supaya tidak mencetuskan sebarang situasi cemas dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin bagi mengulas mengenai mesej tular berhubung sejumlah pekerja syarikat tersebut dijangkiti wabak Covid-19 sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Norlisam berkata, pengurusan SWM Environment juga telah mengambil tindakan segera dan pantas bagi mengawal dan menghentikan rantaian penularan wabak tersebut.

"Kami telah melaksanakan sanitasi setiap hari pada semua kenderaan-kenderaan kutipan sisa pepejal dan jentera pembersihan awam termasuk pejabat-pejabat operasi SWM Environment di seluruh Negeri Sembilan.

"Orang ramai boleh menghubungi saluran komunikasi awam SWM Environment yang merangkumi Talian Indahkan Malaysia 1-800-88-7472 dan Talian WhatsApp SWM di 012-6180082 untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkhidmatan SWM Environment," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak SWM Environment secara berterusan memberikan kesedaran kepada warga kerja barisan hadapannya tentang langkah-langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kami sentiasa mempersiapkan mereka dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE), malah, SWM Environment juga meneruskan kerjasama erat dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19Kebangsaan (PICK) secara berperingkat kepada pekerja-pekerja barisan hadapan SWM Environment.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Mohd Norlisam berkata, pihaknya akan melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam seperti biasa.

"Ia melibatkan lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan mengikut jadual yang telah ditetapkan kerajaan di sepanjang tempoh penguatkuasaan Sekatan Pergerakan Penuh (Total Lockdown) Fasa 1 yang bermula dari 1 hingga 14 Jun dan kini bersambung sehingga 28 Jun," katanya.