Kes tertukar bayi bukan perkara baharu

Kejadian sebegini tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil walaupun kes-kes berkenaan berjaya diselesaikan dan bayi kembali diserahkan kepada keluarga yang sebenar.
Kejadian sebegini tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil walaupun kes-kes berkenaan berjaya diselesaikan dan bayi kembali diserahkan kepada keluarga yang sebenar.
A
A
A

KEJADIAN tertukar bayi di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada Sabtu lalu memang mengejutkan dan pertanyaan bagaimana ia berlaku pasti berlegar dalam minda setiap daripada kita.

Diakui pihak hospital telah memberikan perkhidmatan terbaik untuk setiap pesakit, namun ia tidak bermaksud boleh terlepas daripada sebarang kejadian tidak diingini seperti kes berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, Siti Suriani Wahiddin atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall terkejut apabila mendapati bayi yang dilahirkannya tertukar selepas dibawa pulang ke rumah.

Menurut beliau, perkara itu dikesan apabila suaminya membaca tag nama pada bayi tersebut.

Perkongsian Siti Suriani di Facebook (FB) Live pada jam 7.40 malam Sabtu tular dan mendapat 1.3 juta tontonan dengan 40,000 tanda reaksi, 56,000 komen dan dikongsi 37,000 kali.

Malah, bapa kedua-dua bayi itu telah membuat laporan polis pada Ahad berhubung kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tiada unsur jenayah berlaku dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM).

Kejadian itu satu situasi yang tidak ada seorang ibu pun mahu melaluinya, di kala diri masih penat melalui detik-detik antara hidup dan mati di bilik bersalin, tiba-tiba bayi yang didakap dan dibelai itu bukan anak kandung sendiri.

Artikel Berkaitan:

Ibu mana tidak sedih, bayi yang dibawa pulang tiba-tiba terpaksa berpisah.

‘Ikatan ibu dan anak᾿ itu semakin erat, apatah lagi kedua-dua ibu muda itu telah menyusukan bayi yang dibawa pulang sebelum mengetahui itu bukan anak kandung mereka.

Dalam perkongsian lain pula, Siti Suriani turut memuat naik satu lagi video memaklumkan dia sudah menemui bayinya itu.

Alhamdulillah kedua-dua bayi berkenaan dipertemukan semula dengan ibu bapa kandung mereka, seandainya berlaku sebaliknya, siapa yang harus dipersalahkan?

Sebenarnya pada Februari lalu kejadian tertukar bayi juga berlaku di sebuah hospital di Melaka di mana seorang wanita memuat naik status dia yang dibenarkan pulang pada 15 Februari 2021 dengan bayi lelakinya yang dilahirkan pada 12 Februari terpaksa ditahan wad hospital kerana jaundis.

Bagaimanapun ketika dia datang semula ke hospital untuk menyusukan bayinya, tetapi bayi lelaki di katil bukan anaknya. Sebaliknya bayi wanita itu sudah diambil orang lain yang dibenarkan keluar wad pada hari sama.

Malah beberapa tahun sebelum itu di Kedah, sampel ujian asid deksiribonukleik (DNA) terpaksa diambil apabila dua bayi perempuan tertukar dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah pusat perubatan swasta.

Insiden ini tidak sewajarnya berlaku di mana-mana fasiliti kesihatan swasta berlesen di bawah Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Malah, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di hospital-hospital KKM.

Tidak ada pihak yang mahu perkara itu berlaku. Kakitangan terlibat juga mungkin telah dikenakan hukuman tatatertib akibat kecuaian.

Bagaimanapun kejadian sebegini tidak boleh dipandang sebagai kes terpencil walaupun kes-kes berkenaan berjaya diselesaikan dan bayi kembali diserahkan kepada keluarga yang sebenar.

Teringat empat tahun lalu ketika penulis mahu discaj selepas melahirkan bayi perempuan di sebuah hospital. Sebelum melepasi pintu wad menuju ke lif, kami melalui ‘tapisan terakhir᾿ pengawal keselamatan.

Sambil memegang kaki bayi, dia menyuruh kami baca nama ibu dan nombor kad pengenalan dan melakukan beberapa prosedur lain sebelum membenarkan kami membawa pulang bayi.

Nasihat kepada ibu bapa di luar sana, dalam teruja menerima ahli baru dalam keluarga, periksa juga tagging di kaki bayi ketika di hospital, bukan apa, bimbang perkara sebegini berulang lagi pada masa depan.

*Wan Rosida Wan Hamad ialah Web Editor Sinar Online