Alasan buat video, YouTuber didenda RM50 masuk kawasan FRIM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SELAYANG - Gara-gara mahu membuat video YouTube dengan memasuki kawasan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong, seorang lelaki didenda RM50 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Muhammad Alif Abdullah, 40, yang juga bekas pekerja operator kilang dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memasuki Kawasan Bukit Hari FRIM, Kepong, Desa Jaya di sini tanpa alasan munasabah, yang mana ia menyalahi undang-undang pada 6.30 petang, 4 Jun lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 22 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50.

Semasa prosiding, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Mariappan merayu agar anak guamnya diberi hukuman ringan kerana sudah berhenti kerja sebulan yang lalu.

"Dia memanjat pagar simen kerana mahu memasuki hutan untuk mencari ketenangan selain membuat video untuk akaun YouTubenya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, ketika pengadu bersama pasukan Operasi Bersepadu Khazanah, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota Perhilitan membuat rondaan di kawasan FRIM, mereka melihat seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

Selepas ditanya, tertuduh mengaku mahu membuat video serta gagal mengemukakan kebenaran masuk kawasan itu.