X

Kindly register in order to view this article
!

‘Jangan keruhkan kolam tadahan kami’

A
A

KUALA NERANG - Hampir 1,000 penduduk di tiga buah kampung berharap kolam tadahan air di Hutan Lipur Puncak Janing yang menjadi sumber air utama mereka lebih 42 tahun lalu tidak terganggu dengan aktiviti penyelenggaraan pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Pengerusi Masjid Kampung Baru, Mukim Tualak, Ahmad Abdullah, 70 berkata, kualiti air kolam tersebut disedari keruh sejak sebulan lalu dipercayai akibat laluan jalan balak lama yang diselenggarakan semula.

Menurutnya, kekerapan hujan menyebabkan air sungai berhampiran mengalir ke kolam tadahan di Puncak Janing.

"Kami bimbang keadaan air di tadahan akan menjadi lebih keruh selepas ini dan berharap pihak berwajib dapat mengambil serius berhubung perkara ini.

"Kami tidak tahu sama ada laluan itu untuk tujuan pembalakan atau perkara lain," katanya ketika ditemui media di Kampung Baru, dekat sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga imam di Masjid Kampung Baru sejak 30 tahun lalu berkata, air dari kolam tersebut disalurkan ke tiga buah kampung iaitu Kampung Pasir Puteh, Kampung Tengah dan Kampung Baru.

Menurutnya, kira-kira 150 keluarga masih bergantung kepada sumber air bukit selepas air yang disalurkan melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak sampai ke kediaman mereka di kawasan tinggi.

Ahmad melihat keadaan jalan yang baru diselenggara telah menutupi satu laluan aliran anak sungai yang menuju ke Hutan Lipur Puncak Janing, Kuala Nerang.
Ahmad melihat keadaan jalan yang baru diselenggara telah menutupi satu laluan aliran anak sungai yang menuju ke Hutan Lipur Puncak Janing, Kuala Nerang.

"Air SADA baru sahaja ada sejak empat atau lima tahun lalu namun tidak sampai ke Kampung Pasir Puteh dan Kampung Tengah. Ada juga sebahagian penduduk Kampung Baru sudah mula menikmatinya kerana berada di kawasan yang rendah,” ujarnya.

Seorang penduduk, Mohammad Nazrin Zainon, 41, dari Kampung Pasir Puteh berkata, air bukit tersebut menjadi sumber utama penduduk di kampung berkenaan sejak dahulu lagi.

Juateru, dia berharap pihak berkaitan tidak mengganggu sumber air tadahan di sekitar Puncak Janing.

Sementara itu, Pengarah Perhutan Negeri Kedah, Muhammad Abdullah dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pihaknya maklum mengenai dakwaan pembalakan di hutan lipur tersebut di Facebook oleh seorang individu dikenali Lann Kopnai dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) pada 10 Jun.

Menurutnya, semakan lapangan telah dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada hari sama dan mendapati tidak terdapat aktiviti pembalakan di sekitar Kawasan hutan lipur Puncak Janing.

“Bagaimanapun, kekeruhan kepada sumber air masyarakat disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan untuk kegunaan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bagi menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan kompartmen 43, Hutan Simpan Bukit Perangin.

“Bagi menangani masalah kekeruhan bekalan air masyarakat, JPNK telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut dihentikan serta-merta,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!