'Vaksinasi bergerak tugas mencabar'

Unit Vaksinasi Bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut tiba di Rumah Orang Tua, Jalan Yap Chor Ee untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penghuni rumah tersebut hari ini. Foto Bernama
Unit Vaksinasi Bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut tiba di Rumah Orang Tua, Jalan Yap Chor Ee untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penghuni rumah tersebut hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Penolong Pegawai Perubatan, E Kalimuthu yang merupakan penyelaras unit vaksinasi bergerak di negeri ini dilihat memberi kata-kata semangat kepada sekumpulan warga emas di rumah jagaan warga emas di Jalan Yap Chor Ee di sini pada 9 Jun lepas.

Beliau dilihat meyakinkan mereka bahawa suntikan vaksin Covid-19 hanya seperti ‘sakit digigit semut’ dan ‘kesakitan’ itu pula bertujuan melindungi mereka dan orang di sekeliling mereka.

Namun, di sebalik senyuman ceria Kalimuthu, beliau melalui pelbagai dugaan dan cabaran dalam menjalankan pemvaksinan ke atas warga emas di rumah jagaan warga tua di seluruh Pulau Pinang.

“Masih ada segelintir yang saya harap boleh berikan kerjasama yang lebih baik kepada kami,” kongsinya.

Pada 21 Mei lepas, Kalimuthu memulakan perjalanannya sebagai penyelaras unit vaksinasi bergerak untuk pemvaksinan warga tua dan tenaga kerja di rumah jagaan warga emas di bawah fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menceritakan pengalamannya bertugas dalam unit bergerak itu, Kalimuthu berkata, antara tugas yang beliau perlu lakukan ialah mengatur janji temu dengan rumah-rumah kebajikan tersebut selain mengenal pasti keperluan penghuninya.

“Untuk memudahkan tugas, saya mewujudkan kumpulan sembang yang mana mereka boleh gunakan saluran ini bagi bertanya soalan selain membolehkan kami mengenal pasti keperluan mereka sebelum menerima vaksin,” katanya.

Beliau juga berkata kebanyakan warga emas terbabit mahu disuntik dengan vaksin Covid-19 keluaran syarikat tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Saya teringat ada satu kes seorang warga emas lelaki memberitahu saya yang dia mahu disuntik dengan Sinova kerana katanya, vaksin itu boleh digunakan sebagai pas perjalanan ke China.

“Memang agak membimbangkan apabila melihat mereka begitu percaya kepada maklumat salah tersebut dan saya harap kerajaan serta orang ramai akan terus menyebarkan berita sebenar tentang vaksin,” kata Kalimuthu.

Sementara itu, pakar perubatan keluarga, Dr Lee Cathy yang juga antara ketua pasukan unit vaksinasi bergerak berkata, masalah lain yang biasa dihadapi mereka ialah penerima tidak menandatangani borang persetujuan serta isu teknikal berkaitan pendaftaran.

“Di sebalik kesukaran yang dihadapi, kami sasarkan untuk memberikan lebih 5,000 suntikan (termasuk dos kedua) menjelang 1 Julai ini," katanya yang berharap sasaran pemvaksinan ke atas 80 peratus warga emas di setiap pusat jagaan di negeri ini dapat dicapai. - Bernama