X

Kindly register in order to view this article
!

PKP 3.0 dinilai semula jika kes harian turun 4,000

Ismail Sabri
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu sekiranya jangkitan harian Covid-19 direkodkan pada angka 4,000 kes di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penilaian semula itu bukan bermaksud menamatkan PKP 3.0 sebaliknya lebih kepada kelonggaran prosedur operasi standard (SOP).

"Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan apabila jumlah jangkitan harian negara turun kepada 4,000 barulah PKP 3.0 akan dikaji semula.

"Bukan bermakna PKP ditamatkan tetapi pelaksanaan SOP akan dinilai semula yang mana mungkin boleh dilonggarkan sedikit.

"KKM akan menilai risiko dan menasihatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat khas MKN berhubung tindakan yang perlu dilakukan apabila capai 4,000 kes ke bawah," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pembinaan Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru di sini pada Ahad.

Hadir sama, Dr Adham; Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Dr Noor Hisham; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Ismail Sabri turut berharap kadar jangkitan harian akan turun di bawah 4,000 kes setiap hari menjelang minggu hadapan susulan pelaksanaan PKP 3.0.

"Ini kerana impak PKP 3.0 yg kita laksanakan sejak 1 Jun lalu hanya akan kita nampak hasilnya selepas esok atau dalam tempoh 14 hari pelaksanaannya.

"Jadi kita sama-sama berdoa supaya lepas esok kes turun sehingga 4,000 supaya kita boleh kaji semula PKP 3.0," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!