SPRM Sarawak tumpu siasatan kes menteri

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak akan memberi keutamaan kepada siasatan kes yang mengaitkan Menteri Muda E-Dagang Sarawak, Datuk Naroden Majais dengan dakwaan penyalahguna kuasa.

Pengarahnya, Razim Mohd Noor berkata, setakat ini SPRM Sarawak telah menerima dua laporan yang mendakwa Naroden menyalahguna kuasa bagi tujuan peribadi.

“Saya memberi jaminan bahawa keutamaan akan diberi terhadap siasatan yang sedang dijalankan sebab beliau (Naroden) adalah seorang pemimpin dan ini kes yang sensitif, jadi kita perlu ambil serius dalam menyiasat sama ada benar atau tohmahan.

"Naroden akan dipanggil untuk membuat keterangan hanya selepas kertas siasatan disiapkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis Penyerahan dan Penerimaan Tugas Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak, di sini, hari ini.

Baru-baru ini Naroden, yang juga Menteri Muda Usahawan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, berkata beliau akan memberikan kejasama penuh kepada SPRM.

Pada 8 Februari lalu, bekas wartawan, Joseph Tawie membuat laporan di pejabat SPRM di sini yang mendakwa Naoden, yang juga ADUN Gedong, memiliki tanah yang luas di sekitar Simunjan.

Dalam pada itu, Razim berkata, SPRM Sarawak telah mencipta sejarah dengan menempatkan Timbalan Pengarah (Pencegahan) Zulhairy Zaidel, 46, ke Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION) , Jabatan Ketua Menteri Sarawak sebagai Ketua Pegawai Integriti.

Antara tanggungjawab Zulhairy ialah untuk merujuk kes-kes rasuah dalam kalangan penjawat awam negeri kepada pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk SPRM, katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis berkenaan Zulhairy menyerahkan tugas kepada Chang Ching, 40, yang memegang jawatan Pemangku Penolong Kanan Pesuruhjaya.

Razim berkata, kerajaan Sarawak telah mengambil satu inisiatif kreatif untuk menerima cadangan SPRM Sarawak untuk menubuhkan unit integriti di agensi dan kementerian di bawahnya bagi mengatasi kelemahan berkaitan isu integriti yang sedia ada.

Beliau yang turut berharap kerjasama yang terjalin itu akan lebih rapat, berkata Sarawak telah menjadi negeri pertama mengadakan kursus integriti bertauliah untuk pegawai awam.- Bernama