Sarawak muktamadkan pengambilalihan MASwings

KUCHING - Sarawak memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd melalui entiti milik penuhnya AirBorneo Holdings Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Januari 2026.
AirBorneo menerusi satu kenyataan pada Khamis menjelaskan, perjanjian jual beli bagi pengambilalihan itu ditandatangani antara Malaysia Aviation Group dan kerajaan negeri Sarawak pada 12 Februari 2025.
"Berkuat kuasa 1 Januari, 2026, AirBorneo akan mengambil alih tanggungjawab perundangan dan operasi penuh MASwings. Semasa fasa peralihan awal ini, penjenamaan MASwings akan diteruskan, sementara AirBorneo melancarkan identiti jenama baharunya secara berperingkat.
"AirBorneo menghargai kerjasama dan sokongan oleh penumpang, rakan kongsi dan pihak berkepentingan sepanjang tempoh peralihan ini," katanya dalam kenyataan itu.
AirBorneo berkata, pengambilalihan itu menyokong objektif strategik kerajaan negeri untuk memperkukuh ketersambungan udara di negeri ini dan memastikan tambang yang berpatutan bagi rakyat Sarawak.
"Ini merupakan langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri dan menyediakan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya AirBorneo.
"Kerajaan negeri Sarawak ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja, rakan kongsi dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka sepanjang proses peralihan ini,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Sarawak memuktamadkan pengambilalihan MASwings melalui AirBorneo Holdings berkuat kuasa 1 Januari 2026
- Perjanjian jual beli ditandatangani antara Malaysia Aviation Group dan kerajaan negeri Sarawak pada 12 Februari 2025
- AirBorneo akan mengambil alih tanggungjawab perundangan dan operasi penuh MASwings mulai 1 Januari 2026
- Pengambilalihan tersebut bertujuan memperkukuh ketersambungan udara di Sarawak dan menyediakan tambang berpatutan untuk rakyat
- Langkah ini menyokong agenda pembangunan sosial dan ekonomi negeri Sarawak serta mempersiapkan asas bagi pertumbuhan AirBorneo
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

