Cabaran pecahkan kebuntuan

No Image Caption
A
A
A

KITA sebenarnya tidak ada pilihan melainkan mencari jalan mengatasi krisis berpasangan yang sedang dideritai negara dan rakyat iaitu krisis Covid-19 serta krisis ekonomi.

Jika mahu, kita boleh memasukkan krisis politik sebagai anasir ketiga, malah mungkin ada pihak menganggap krisis politik sebagai punca kepada dua krisis tersebut kerana banyak negara yang politiknya stabil dan pemerintahannya sahih didapati lebih berjaya menangani pandemik dan masalah yang dicetuskan.

Pada 10 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai ancaman kesihatan global. Pada 25 Januari, kes pertama dikesan di Malaysia dan sebulan kemudian pada 24 Februari, Gerakan Sheraton dilancarkan bagi menjatuhkan kerajaan Paka-tan Harapan (PH).

Sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, jangkitan Covid-19 sehingga 11 Jun lalu meningkat kepada 646,411 kes.

Kegagalan menangani Covid-19 bukan sahaja menyusahkan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan, malah menimbulkan keresahan terhadap pihak-pihak yang dilihat menyokong atau memberi tongkat kepada kerajaan, antaranya peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Dalam perkembangan terbaharu, Yang di-Pertuan Agong telah bertemu dengan ketua-ketua parti politik selama tiga hari berturut-turut.

Laporan media massa mengatakan tiga atau empat perkara dibincangkan adalah penularan Covid-19, masalah berkaitan kempen vaksinasi, tempoh darurat dan pembukaan semula Parlimen.

Berbalik kepada pertemuan dengan ketua-ketua parti, jika tujuannya setakat membincangkan isu berkaitan Covid-19, darurat dan pembukaan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong boleh berjumpa dengan mereka sekali gus melalui sidang video.

Artikel Berkaitan:

Maklumat

Namun, Yang di-Pertuan Agong memilih untuk berjumpa seorang demi seorang kerana dalam perkiraan Seri Paduka, cara tersebut lebih berkesan bagi memperoleh maklumat, pandangan dan cadangan yang ikhlas daripada setiap individu.

Dengan cara itu juga, Yang di-Pertuan Agong memperoleh maklumat yang orang lain tiada.

Apakah bentuk penyelesaian yang akan dipilih? Yang di-Pertuan Agong tentu akan berkongsi dengan semua atau mana-mana yang pada budi bicara Seri Paduka relevan, dengan Raja-Raja Melayu lain dalam pertemuan khas mereka pada 16 Jun ini.

Yang nampak jelas perlu dilakukan segera adalah menarik semula penggantungan Parlimen dan menamatkan darurat sebelum atau pada 1 Ogos.

Kita amat memerlukan semak imbang terhadap kerajaan kerana banyak peraturan yang dibuat menggunakan undang-undang darurat dan beratus bilion ringgit perbelanjaan, penjualan aset negara serta pengambilan hutang dilakukan sejak darurat diisytiharkan.

Isu pemerintahan juga perlu diputuskan kerana tempoh Parlimen masih ada dua tahun dan pilihan raya umum baharu tidak dapat diadakan sehingga setiap orang yang perlu divaksinasi telah divaksinasi.

Ada cadangan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar mekanisme seakan-seakan Majlis Gerakan Negara (Mageran) ketika peristiwa 13 Mei 1969 diperkenalkan tetapi telah sebulat suara ditolak.

Persoalannya, kita kini menghadapi ancaman virus, bukan keganasan oleh mana-mana pihak.

Hatta peralihan kuasa pada 10 Mei 2018 itu pun berlaku dalam keadaan yang aman-damai.

Jadi, sebaik-baik penyelesaian adalah mengembalikan kuasa kepada Parlimen atau setidak-tidaknya berpandukan apa yang muncul sebagai konsensus dalam majlis menghadap di Istana Negara itu.

Kita perlukan pemerintahan yang stabil dan berkeabsahan untuk meneruskan peperangan terhadap pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi dan menebus maruah kita di mata dunia antarabangsa.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara