X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan kongsi detik cemas nyaris ditelan ikan paus

Packard dimuntahkan paus humpback tersebut selepas ia berada di dalam mulut ikan itu selama kira-kira 30 hingga 40 saat ketika kejadian pada Jumaat lalu. - Foto Agensi
A
A

NEW YORK - 'Ikan paus spesies humpback cuba menelan saya'.

Detik cemas itu dikongsi nelayan udang kara di Amerika Syarikat (AS), Michael Packard ketika kejadian pada Jumaat lalu.

"Saya berada di dalam mulut ikan itu selama kira-kira 30 hingga 40 saat sebelum ia timbul ke permukaan dan memuntahkan saya semula," ujar Packard yang menjelaskan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius akibat insiden tersebut.

Cape Cod Times memetik kenyataannya melaporkan Packard, 56, sedang menyelam di pesisir pantai Massachusetts apabila 'objek hitam' muncul secara tiba-tiba pada kedalaman 10 meter.

"Pada mulanya, saya menyangka telah diserang jerung, namun ia tidak mempunyai gigi tajam. Saya mula membuat cubaan untuk melepaskan diri dan gerakan yang dilakukan oleh saya mungkin menyebabkan ikan itu berasa tidak selesa.

"Perkara terakhir yang saya ingat adalah saya sudah berada di luar mulut ikan tersebut," katanya.

Bapa kepada dua anak itu turut menyampaikan mesej kepada orang ramai supaya sentiasa berwaspada.

"Jaga jarak anda apabila terlihat ikan paus ketika sedang menyelam. Adalah sangat penting untuk beri ruang kepada ikan tersebut," katanya lagi.

Sementara itu, penyelidik paus humpback di Center for Coastal Studies di Provincetown, Jooke Robbins berkata, tiada sebab untuk tidak mempercayai kisah diceritakan Packard.

"Saya tidak rasa ia adalah cerita rekaan semata-mata kerana ada individu pernah berdepan situasi sama. Oleh itu, saya ada sebab untuk percaya apa yang dikatakan olehnya adalah cerita benar," ujarnya. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!