X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Malaysia, Bangladesh dan Myanmar perlu kerjasama hapus sindiket

Laporan Sinar Harian mendedahkan etnik Rohingya membuat bayaran sekitar RM10,000 kepada sindiket dalam usaha untuk masuk ke Malaysia secara haram.
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia, Bangladesh dan Myanmar perlu bekerjasama untuk membanteras sindiket yang mengaut keuntungan membawa masuk etnik Rohingya ke dalam negara.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph berkata, jika usaha itu tidak dilakukan segera, cubaan etnik Rohingya untuk masuk ke Malaysia akan terus berlaku walaupun pintu sepadan dikawal ketat sepanjang masa.

Beliau berkata, penyeludupan manusia adalah satu isu jenayah dan ejen atau sindiket yang terlibat perlu ditangkap dan didakwa.

“Kita ada undang-undang yang ketat tetapi kewujudan ejen ini bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi turut berada di Cox’s Bazar di Bangladesh dan Myanmar.

“Jadi Malaysia perlu bekerjasama dengan Bangladesh dan Myanmar. Tangkap semua yang terlibat. Kalau ejen atau sindiket ini masih wujud, etnik Rohingya akan berterusan mencuba nasib masuk ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Joseph berkata, secara am tindakan etnik Rohingya itu tidak dilihat sebagai menjadi mangsa sindiket penyeludupan kerana mereka melakukan pembayaran.

Namun tegasnya, konsep itu boleh bertukar sebagai penyeludupan manusia sekiranya melibatkan kanak-kanak bawah umur.

“Dalam definasi pemerdagangan manusia, kalau kamu kanak-kanak, kamu memang tiada ruang untuk membuat keputusan sebab kamu kanak-kanak. Itu dianggap sebagai pemerdagangan manusia.

“Sepatutnya mereka dikira sebagai mangsa dan perlu diselamatkan. Kanak-kanak tidak ada peluang dan keyakinan untuk membuat keputusan,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu memberi peluang kepada etnik Rohingya yang cuba memasuki negara ini kerana harapan etnik itu cukup besar bagi memulakan hidup baharu selepas memegang status sebagai pelarian.

“Status mereka adalah pelarian. Perkara itu tidak berubah. Status berkenaan akan berubah apabila krisis di Rakhine, Myanmar sudah berakhir dan mereka boleh pulang semula ke negara asal. Selepas itu kita boleh tarik semula status tersebut.

“Bagaimanapun, setakat ini etnik Rohingya masih berstatus pelarian. Tidak kira dia di Cox’s Bazar ataupun Indonesia atau dalam bot atau diseludup ke sini. Mereka masih lagi pelarian,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada negara mahu terima Rohingya


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!