Mara buka peluang pelajar B40 ikuti sistem pendidikan MRSM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memberi tumpuan utama bagi membuka peluang kepada anak-anak pelajar golongan B40 mengikuti sistem pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ia selepas seramai 456 orang pelajar di bawah BUDI MARA iaitu program bantuan untuk pendidikan bawah kategori B40 telah meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 manakala 12 orang daripadanya berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.

“Ini menunjukkan sistem pendidikan MRSM telah berjaya membuka peluang kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan terbaik di MRSM.

“Ini adalah kejayaan yang sangat membanggakan apabila pelajar BUDI adalah antara pelajar yang cemerlang dalam SPM 2020,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, seramai 8,095 calon dari 53 MRSM di seluruh negara telah menduduki SPM 2020 dan daripada jumlah tersebut, 1,098 calon telah berjaya memperoleh semua A (A+, A dan A-) termasuk 22 calon mendapat semua A+.

Katanya, sistem pendidikan MRSM telah memberi ruang dan peluang kepada pelajar dari kalangan keluarga B40 mendapat pendidikan berkualiti dan membuka peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke institusi terbaik di peringkat tertiari.

“Pihak Mara menyediakan bantuan kewangan agar faktor ekonomi tidak menjadi penghalang untuk mereka berjaya.

“Walaupun pelajar BUDI adalah dalam kalangan keluarga yang mencabar, tetapi ini bukanlah penghalang mereka untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azizah berkata, sistem pendidikan MRSM sentiasa menghargai potensi pelajar walaupun berbeza latar belakang dan personaliti.

Beliau turut meminta pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk mendapat peluang penajaan disediakan Mara untuk melanjutkan pengajian mereka sama ada di dalam mahupun luar negara.

“Mara sentiasa komited membantu golongan bumiputera untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti dengan memberi peluang terutamanya golongan pelajar B40 mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.