Program Jualan Agro Madani edisi ‘Pasar Klate’ bawa cita rasa Kelantan ke Lembah Klang

SELAYANG - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengadakan Program Jualan Agro Madani edisi Negeri Kelantan 2026 bertemakan ‘Pasar Klate’ bagi mengetengahkan makanan tradisional, hasil pertanian dan persembahan kebudayaan Kelantan kepada masyarakat di sekitar Lembah Klang.
Program yang berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat FAMA Bandar Baru Selayang bermula jam 7.30 pagi hingga 3 petang pada Jumaat itu turut membuka peluang pasaran kepada 39 usahawan menerusi 52 lot jualan dengan anggaran pendapatan tambahan antara RM2,000 hingga RM2,500.
FAMA berkata, program tersebut menyasarkan nilai jualan RM100,000 dengan penjimatan sebanyak RM30,000 yang dijangka memanfaatkan 8,000 orang seisi rumah.
“Program ini menawarkan pelbagai barangan asas dan hasil pertanian segar pada harga berpatutan.
“Ia termasuk 250 set Kombo Madani Ayam Kerutuk Agromas RM10 berbanding RM25; tambahan 200 set sempena Happy Hour pada harga RM5; 300 papan telur ayam Gred B RM10 sepapan berbanding RM15; 300 ekor ayam segar RM10 seekor serta 300 kilogram (kg) daging segar tempatan RM25/kg.
“Pengunjung turut berpeluang mendapatkan buah-buahan bermusim, sayur-sayuran segar, produk Agromas, minuman Kopiesatu dengan potongan 50 peratus dan 250 paket sayuran percuma,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Majlis perasmian Program Jualan Agro Madani edisi Negeri Kelantan 2026 disempurnakan oleh Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sambil diiringi Ketua Pengarahnya, Faisal Iswardi Ismail serta barisan pengurusan tertinggi agensi.
FAMA turut memaklumkan, penganjuran memfokuskan kepada jualan telur ayam memandangkan bekalan negara kekal mencukupi ketika ini dengan lebihan 1.015 bilion biji telur, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) setakat Ogos lalu.
FAMA berkata, pihaknya turut melaksanakan intervensi harga dengan menawarkan telur pada kadar 50 sen hingga RM5 sepapan lebih rendah berbanding pasaran bagi membantu meringankan beban rakyat selain keperluan menstabilkan harga.
“Sehingga 20 Oktober lepas, FAMA telah melaksanakan pengedaran sebanyak 35 juta telur ayam dengan nilai RM13.4 juta melalui 152 outlet pemasaran FAMA dan 4,182 program di seluruh negara.
“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan telur terus stabil dan dapat diagihkan kepada rakyat pada harga mampu milik.
“Sebagai agensi peneraju pemasaran agromakanan negara, FAMA memainkan peranan menghubungkan petani dan usahawan secara terus dengan pengguna, memperluas peluang pasaran serta memastikan bekalan makanan dapat diperoleh pada harga lebih berpatutan,” ujarnya.
Jelas agensi itu lagi, keberkesanan inisiatif dapat dilihat melalui pencapaian Jualan Agro Madani di seluruh negara yang merekodkan nilai jualan RM77.65 juta dengan penjimatan pengguna sebanyak RM24.72 juta.
“Ia dibuktikan menerusi 3,344 program yang dilaksanakan dari 1 Januari hingga 11 Oktober baru-baru ini melibatkan 54,124 usahawan dan 4.63 juta pengunjung,” jelas FAMA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
