X

Kindly register in order to view this article
!

Buka 22 PPV di seluruh Parlimen Selangor

Noh (dua dari kanan) melawat PPV Stadium Kuala Selangor pada Jumaat.
A
A

KUALA SELANGOR - UMNO Selangor mencadangkan kerajaan membuka sekurang-kurangnya 22 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Parlimen di negeri ini bagi mempercepat dan meningkatkan kadar pemberian vaksin.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sekiranya PPV itu dapat dibuka di seluruh Parlimen di Selangor ia dapat memudahkan penduduk terutamanya mereka yang berada di luar bandar mendapatkan vaksin Covid-19.

Menurutnya, seluruh Parlimen di Selangor seharusnya mempunyai PPV masing-masing memandangkan negeri itu mempunyai kepadatan penduduk selain kes harian positif Covid-19 tertinggi di negara ini.

"Contohnya di daerah Kuala Selangor mempunyai dua Parlimen iaitu Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

"Pada masa ini hanya dua PPV dibuka iaitu di Stadium Kuala Selangor dan PPV Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam tetapi kedua-duanya terletak dalam Parlimen Kuala Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke PPV Stadium Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau sendiri telah menghubungi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin bagi cadangan pembukaan sebuah PPV di Parlimen Tanjong Karang.

"Beliau (Khairy) memaklumkan telah bersetuju untuk membuka sebuah PPV di Parlimen Tanjong Karang dan ia masih dalam proses perlaksanaan," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, UMNO Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan baginda terhadap isu kekurangan bekalan vaksin Covid-19 di negeri ini.

Katanya, kekurangan bekalan vaksin di Selangor itu ada dibangkitkan beliau dalam satu mesyuarat pada Rabu.

"Saya memaklumkan, kerajaan tidak boleh memberi agihan sama rata kerana setiap negeri kes positif Covid-19 berbeza-beza antara satu sama lain.

"Sepatutnya kuota vaksin di negeri ini mestilah melebihi daripada negeri lain memandangkan Selangor mencatatkan kes tertinggi. Saya sudah dimaklumkan (Khairy) bahawa pihaknya telah bersetuju untuk menambah kuota vaksin Covid-19 di negeri ini, " katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!