X

Kindly register in order to view this article
!

Kelulusan permohonan pajakan melombong libatkan negeri, Persekutuan

A
A

KUANTAN - Kelulusan permohonan pajakan melombong di negeri ini perlu melalui pelbagai proses melibatkan tindakan pihak berkuasa negeri dan agensi kerajaan Persekutuan.

Kuasa kerajaan negeri dalam perkara itu berdasarkan Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 manakala kuasa kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525) menerusi skop kebenaran pengoperasian sesuatu aktiviti perlombongan.

Berdasarkan laporan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, bidang kuasa kerajaan negeri dalam proses kelulusan pajakan melombong melibatkan lapan peringkat tindakan bermula penerimaan permohonan.

Menurut laporan itu, permohonan yang diterima seterusnya dirujuk kepada lapan agensi teknikal untuk ulasan sebelum mendapat pengesyoran Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri.

"Peringkat seterusnya kelulusan pihak berkuasa negeri diikuti dengan tindakan pemakluman dan pembayaran kelulusan.

"Pihak berkuasa negeri juga bertanggungjawab menyediakan Pelan Akui dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) dan pendaftaran pajakan melombong," jelas laporan yang dikeluarkan PTG Pahang pada Jumaat.

Menurut laporan itu lagi, tindakan peringkat agensi kerajaan Persekutuan bagi penyediaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar oleh pemohon sekiranya tapak lombong dikategorikan sebagai kawasan sensitif.

"Permohonan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKPSM) kepada Jabatan Mineral dan Geosains

bagi tujuan memulakan kerja-kerja lombong juga di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan," jelasnya.

PTG Pahang memaklumkan, laporan itu dikeluarkan bagi menjelaskan kronologi proses kelulusan pajakan melombong di negeri ini bagi mengelak kekeliruan yang boleh mendatangkan pelbagai persepsi negatif sehingga tidak menggambarkan keadaan sebenar mengenainya.

"Berdasarkan laporan itu jelas menunjukkan penglibatan pelbagai pihak dalam aspek berkaitan permohonan pajakan melombong di negeri ini dan bukan keputusan kerajaan negeri semata-mata.

"Ia juga menunjukkan permohonan berkaitan pajakan melombong ini tidak akan mendapat kelulusan jika tidak melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,"jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!