Tiada penolakan terhadap Ahmad Samsuri

 Wan Sukairi Wan Abdullah
Wan Sukairi Wan Abdullah
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Tiada penolakan terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sehingga jawatannya sebagai Menteri Besar perlu ditukar sebagaimana dakwaan sesetengah pihak yang tular di media sosial.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pentadbiran kerajaan Terengganu berjalan dengan baik sekali gus menafikan wujud perkara itu.

“Kita telah zahirkan sokongan kita, Kelab Penyokong Kerajaan juga sudah membuat laporan polis kerana tidak berlaku penolakan terhadap kepimpinan Menteri Besar sekarang,” katanya.

Ketua Penerangan Pas Terengganu itu turut menyifatkan laporan tidak bertanggungjawab berkenaan sebagai cubaan jahat pihak tertentu yang tidak senang dengan kestabilan dan kesejahteraan Terengganu di bawah kepimpinan Pas.

“Mereka melakukan sesuatu untuk menampakkan ada krisis atau konflik sedangkan dalaman Pas tidak ada masalah. Ini tidak lebih daripada cubaan pihak tidak bertanggungjawab memporak perandakan politik dalaman Pas tetapi Alhamdulillah ia tidak menggugat.

“Dua laporan polis sudah dibuat oleh Kelab Penyokong Kerajaan dan Setiausaha Politik Menteri Besar. Jadi kita tunggu saja siasatan polis,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan sebuah portal tempatan pada Selasa yang disifatkan sebagai fitnah terhadap Ahmad Samsuri.

Muhyiddin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Portal berkenaan mendakwa kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana serta usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Satu borang 'surat akuan berkanun' didakwa sudah disediakan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.

Borang berkenaan dikatakan disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada daripada Pas yang mempunyai 22 ADUN dan UMNO yang mempunyai 10 ADUN.

ARTIKEL BERKAITAN:Saya masih Menteri Besar'

Setiausaha Politik MB Terengganu buat laporan polis terhadap portal