'Saya masih Menteri Besar'

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - “Saya bangun tidur pagi ini, masih lagi Menteri Besar,” kata Dr Ahmad Samsuri Mokhtar secara berseloroh ketika ditanya pemberita mengenai spekulasi kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu yang tular di media sosial ketika ini.

Ahmad Samsuri berkata, tidak timbul soal pertukaran Menteri Besar walaupun tersebarnya gambar 10 individu yang didakwa sebagai calon bagi menggantikan beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut menafikan berlakunya perpecahan dalam Pas hingga wujud spekulasi sedemikian.

“Tidak ada perpecahan, ini (perbuatan) orang tidak ingat api neraka, buat fitnah ini. Jadi saya nak seru orang ramai, ingatlah bahawa buat fitnah itu, api neraka ada. Kita hidup lama-lama akan mati juga,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau ditemui selepas menziarahi keluarga Jusoh Muda iaitu mangsa kebakaran rumah yang meninggal dunia pada pagi Khamis selepas tiga hari dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung penularan berita tidak benar berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung satu artikel disiarkan sebuah portal tempatan pada Selasa yang disifatkan sebagai fitnah terhadap Ahmad Samsuri.

Muhyiddin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

Portal berkenaan mendakwa kedudukan Ahmad Samsuri kini tersepit antara masalahnya dengan pihak istana serta usaha pimpinan lain dalam Pas untuk mengambil alih tempat beliau.

Satu borang 'surat akuan berkanun' didakwa sudah disediakan membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu menandatanganinya bagi menyatakan kesediaan mereka menolak Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar.

Borang berkenaan dikatakan disediakan untuk ADUN kedua-dua parti sama ada daripada Pas yang mempunyai 22 ADUN dan UMNO yang mempunyai 10 ADUN.

ARTIKEL BERKAITAN: Setiausaha Politik MB Terengganu buat laporan polis terhadap portal