X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

ZPP lulus RM6.5 juta bantu golongan terkesan

Amran (dua dari kiri) menyampaikan bakul makanan kepada wakil Pusat Operasi Kawalan Bencana Daerah Barat Daya untuk disalurkan kepada keluarga yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dilaksanakan di kawasan Bayan Lepas.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyediakan peruntukan sebanyak RM6.5 juta menerusi dua skim bantuan yang dilancarkan bagi membantu golongan terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan Sekatan Pergerakan Penuh ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, sebanyak RM1.5 juta disediakan untuk Skim Bantuan Kecemasan Makanan bagi memastikan umat Islam di negeri ini tidak terputus bekalan makanan.

Menurutnya, skim bantuan berkenaan yang dilancarkan sejak 5 Jun lalu menerima permohonan menggalakkan membuktikan ramai yang terkesan dan hilang sumber pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Katanya, sebanyak 10,000 bakul makanan yang bernilai RM150 setiap satu kini dikumpulkan di Pusat Inapan Kasih Sayang, Pongsu Seribu dan Zakat Mart yang terletak di Balik Pulau.

Amran Hazali
Amran Hazali

"Setiap hari sebanyak 300 hingga 400 bakul makanan dihantar oleh pasukan respons ZPP kepada mereka yang memerlukan.

"Bantuan disalurkan kepada penerima hasil daripada permohonan yang dilakukan oleh mereka sendiri atau laporan yang kami terima daripada orang ramai melalui enam talian hotline disediakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sementara itu, Amran berkata, sebanyak RM5 juta pula disedikan melalui Skim Bantuan Khas Zakat Covid-19 Fasa 3 yang baru dilancarkan pada Selasa lalu.

Jelasnya, bantuan khas RM500 yang diberikan secara 'one off' ini diberikan kepada beberapa segmen masyarakat yang terjejas seperti pekerja yang menerima gaji harian atau bulanan yang terjejas pendapatan, diberhentikan kerja atau diberikan cuti tanpa gaji.

Turut layak menerima bantuan ini pemandu teksi, e-hailing, pemandu van dan bas sekolah.

"Bantuan juga akan diberikan kepada peniaga pasar malam dan pasar tani yang tidak dapat membuka perniagaan mereka ketika ini.

"Guru agama tanpa majikan dan pendakwah bebas yang mempunyai tauliah juga layak menerima bantuan ini dan ia akan turut diberikan kepada keluarga atau pesakit Covid-19," katanya.

Barangan keperluan untuk disalurkan kepada keluarga yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dilaksanakan di kawasan Bayan Lepas.
Barangan keperluan untuk disalurkan kepada keluarga yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dilaksanakan di kawasan Bayan Lepas.

Beliau berkata, permohonan bantuan boleh dibuat melalui portal rasmi ZPP di pautan zakatpenang2u.com/bantuankhas dan akan ditutup pada 15 Jun depan.

Dalam pada itu, Amran mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan tanggungjawab mereka di negeri ini melalui ZPP sekali gus membolehkan pihaknya menjalankan amanah bagi membantu asnaf dan golongan yang memerlukan.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak RM15.9 juta telah disalurkan oleh ZPP bagi membantu mereka yang terjejas disebabkan pandemik ini.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan PKP namun kita dapati kutipan zakat meningkat dan kita berharap umat Islam terus menunaikan tanggungjawab dengan membayar zakat kepada ZPP bagi membolehkan kita membantu lebih ramai orang selepas ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!