Menyamar polis tipu wanita RM2 juta

Suspek memperdayakan mangsa kononnya dia terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram dan penjualan dadah.
Suspek memperdayakan mangsa kononnya dia terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram dan penjualan dadah.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dan mempunyai gelaran Datuk ditahan polis selepas memperdayakan seorang wanita sehingga mengalami kerugian lebih RM2 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, lelaki berusia 37 tahun itu menyamar sebagai pegawai polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Pahang.

Beliau berkata, suspek memperdayakan wanita berusia 49 tahun yang tidak bekerja kononnya mangsa terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram serta penjualan dadah.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan nombor TAC akaun RHB Bank miliknya kepada suspek sebelum mendapati sebanyak 164 transaksi pemindahan wang berjumlah RM2,08,736 telah dibuat ke 17 akaun lain dipercayai akaun mule dalam tempoh 11 Januari hingga 20 Januari lalu.

"Siasatan lanjut mendapati daripada 17 akaun terlibat, dua akaun dimiliki seorang lelaki berusia 37 tahun dan bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat swasta di Lembah Klang.

"Hasil siasatan mendapati sebanyak 39 transaksi kemasukan wang berjumlah RM331,500 dibuat ke akaun suspek dari akaun mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, wang berkenaan merupakan wang tuntutan insurans abang mangsa yang meninggal dunia.

"Suspek kini direman sehingga Jumaat ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur," katanya.

Artikel Berkaitan: