X

Kindly register in order to view this article
!

Abai SOP punca insiden dua tren LRT bertembung

Wee Ka Siong
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pengabaian prosedur operasi standard (SOP) kritikal oleh pemandu tren 40 dan pengawal pusat kawalan operasi (OCC) Transit Aliran Ringan (LRT) ketika mengendalikan gerabak menjadi punca insiden pertembungan berlaku pada 24 Mei lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah menyebabkan tren 40 secara tidak sengaja bergerak ke arah utara sebelum bertembung dengan tren 81.

Menurut beliau, tren 40 mengalami masalah apabila salah satu daripada dua sistem komunikasi vehical on board communication (VOBC) gagal berfungsi pada jam 6.26 petang.

"Apabila VOBC gagal berfungsi, tren 40 perlu dikosongkan dan dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk dihantar ke depoh penyelenggaraan di Lembah Subang iaitu terletak di arah selatan.

"Namun pada jam 8.13 malam, satu lagi VOBC tren berkenaan gagal berfungsi dan pemandu telah dikerahkan untuk mengendalikan tren 40 secara manual ke Stesen Dang Wangi agar ia dapat diset semula ke mod kawalan automatik (ATO)," katanya pada sidang akhbar secara maya mengenai laporan siasatan berhubung insiden tersebut pada Khamis.

Ka Siong berkata, OCC tidak dapat mengawal tren berkenaan apabila kedua-dua VOBC rosak.

"Siasatan mendapati ketika proses pemindahan tren 40 untuk diset semula dan dikembalikan kepada ATO, pemandu dan pengawal OCC telah mengabaikan SOP kritikal tertentu," katanya.

Beliau berkata, kegagalan komunikasi antara OCC dengan pemandu tren 40 pada ketika itu sedang berada dalam pengendalian ‘time out’ dan pelepasan tren 81 mengakibatkan berlakunya perlanggaran.

"Tren 81 dilepaskan dari Stesen KLCC ke Stesen Kampung Baru tanpa pengesahan tepat bahawa tren 40 telah diset semula kepada ATO.

"Keadaan ini seterusnya mengakibatkan berlakunya pertembungan antara tren 40 dan tren 81," katanya.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, MOT menerusi jawatankuasa teknikal telah mengemukakan 23 cadangan penambahbaikan yang harus dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan Rapid Rail kepada kabinet.

"Pengurusan tertinggi Prasarana perlu melihat dan mengambil tindakan segera bagi memastikan perkara serupa tidak berulang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, beliau berkata, ia merangkumi lima cadangan penambahbaikan bagi jangka pendek, 11 jangka sederhana dan tujuh jangka panjang yang memerlukan masa lebih dari enam bulan untuk dilaksanakan.

"Antara lima penambahbaikan jangka pendek adalah menetapkan dua pemandu bagi mengendalikan tren secara manual.

"Peranan pemandu kedua adalah sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan selain mereka perlu dibekalkan dengan lampu suluh berkuasa tinggi ketika bertugas di dalam terowong," katanya.

Tambahnya, Prasarana dan Rapid Rail turut dicadangkan agar menjalankan penilaian teknikal terhadap SOP pengendalian tren secara manual di dalam terowong bersama audit secara berskala.

"Bagi penambahbaikan dalam jangka masa panjang, syarikat itu perlu mengadakan kursus latihan dan pensijilan semula secara berkala bagi mengekalkan kecekapan pengawal OCC dan pemandu tren.

"Prasarana juga perlu menjalankan penilaian risiko terhadap pemasangan 'stanchion' di 'vestibule' di dalam tren," katanya.

Sebelum ini, insiden itu mengejutkan ramai pihak apabila ia merupakan pelanggaran kali pertama sejak LRT memulakan operasinya sejak 23 tahun lalu.

Terdapat 213 penumpang tren 81 pada ketika itu dengan 47 penumpang dilapor cedera parah, manakala 166 cedera ringan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!