X

Kindly register in order to view this article
!

RM126.86 juta bantuan ‘one-off’ untuk rakyat Johor

Bantuan RM500 kepada mereka yang hilang pekerjaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM126.86 juta untuk pemberian sekali beri (one-off) bagi rakyat negeri ini yang terjejas dengan pandemik Covid-19 termasuk golongan M40 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan pada Khamis.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, PRE Ihsan Johor 3.0 akan menggunakan pendekatan secara sektoral di semua sektor masyarakat dan modal insan atau sektor pelancongan serta sektor perusahaan kecil dan sederhana yang akan mendapat manfaat.

Menurutnya, penerima bantuan Pemerkasa Plus juga layak menerima bantuan Ihsan Johor 3.0. dalam usaha untuk memperkukuhkan bantuan keselamatan sosial ini.

“Bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada 1,197 pengusaha kantin sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, 4,202 pemegang lesen premis gunting rambut atau salun serta 2,123 pemandu bas dan van sekolah yang berdaftar.

“Bantuan sama akan diberikan kepada 22,071 penerima dalam senarai e-Kasih manakala golongan imam, bilal dan noja berjumlah 5,264 orang turut akan menerima bantuan RM500.

“Seramai 10,000 orang yang hilang pekerjaan atau pendapatan turut akan menerima bantuan RM500, selain bantuan sama akan diberikan kepada 630 orang ketua-ketua kampung,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 secara maya melalui platform Facebook Live rasminya dan media sosial kerajaan negeri.

Jelas Hasni, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim bagi mengadakan klinik kaunseling, webinar psikologi dan kaunseling serta ujian psikologi secara dalam talian yang akan dapat membantu 10,000 orang.

Datuk Hasni Mohammad
Datuk Hasni Mohammad

Selain itu, katanya, penyaluran baucar barangan bernilai RM200 kepada 300,000 penerima yang dikategorikan dalam keluarga B40 akan dilaksanakan dengan kerjasama MyKasih Foundation dan akan diselaraskan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor dengan bantuan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Bantuan program bakul makanan bernilai RM100 juga akan diberikan kepada 20,000 rakyat yang memerlukan dengan peruntukan RM2 juta yang akan diselaraskan oleh Yayasan Sultan Ibrahim (YSI).

“Bantuan sebanyak RM8 juta pula diberikan untuk ‘Program Gerobok Makanan’ yang akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 rakyat terkesan manakala sebanyak 100,000 baucar KFC bernilai RM20 juga akan diberikan kepada golongan yang terkesan seperti mahasiswa, anak-anak yatim piatu, warga emas dan lain-lain lagi melalui Johor Corporation (JCorp),” katanya.

Tambah Hasni, bagi membantu pelajar di sekolah rendah dan menengah mengikuti program Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), kerajaan negeri akan melaksanakan ‘Bantuan Sumbangan Peranti’ kepada sekolah di seluruh Johor.

Peranti itu nanti akan dijadikan sebagai aset sekolah dan kemudahan ini akan dipinjamkan kepada seramai 8,000 pelajar yang kurang berkemampuan.

“Elaun khas juga akan diberikan kepada setiap penggerak Southern Volunteers (SV) sebanyak RM50 sehari yang akan melibatkan hampir 400 penggerak setiap hari membabitkan golongan belia secara amnya manakala peruntukan sebanyak RM 1.8 juta disediakan bagi latihan dalam talian di bawah seliaan Unit Strategik Modal Insan.

“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pemberian bantuan sebanyak RM500,000 kepada persatuan dan penggiat seni di negeri Johor.

"Bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan pengamal media dan penggerak Info on Wheels yang membuat penerangan dan advokasi tentang pandemik di seluruh negeri Johor, pemberian sebanyak RM500 akan diberikan kepada 300 orang individu terlibat,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!