23 September pendengaran rayuan Najib, Shafee gugurkan Sri Ram

Gopal Sri Ram
Gopal Sri Ram
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 23 September ini sebagai tarikh baharu untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka bagi menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan dalam kes masing-masing.

Tarikh baharu pendengaran itu dimaklumkan oleh Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk mendengar rayuan tersebut.

Kes rayuan itu dikemukakan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman pada Rabu.

Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkanoleh bekas Perdana Menteri itu dan Muhammad Shafee bagi menggugurkan Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, selaku TPR Kanan dalam kes masing-masing.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan pelantikan Sri Ram sebagai TPR Kanan oleh Peguam Negara (AG) ketika itu Tan Sri Tommy Thomas sebagai sah.

“Adalah jelas bahawa AG telah membuat pertimbangan yang teliti sebelum melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan untuk mengetuai pendakwaan berkaitan skandal 1MDB berdasarkan pengalaman luas Sri Ram dalam bidang perundangan,” kata Mariana ketika menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee.

Pada Disember 2018, Najib memfailkan semakan kehakiman bagi mengetepikan Sri Ram sebagai TPR Kanan dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan beliau.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee pula memfailkan semakan kehakiman bagi menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

Mereka memohon perintah mahkamah bagi membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau atas alasan surat lantikan itu tidak sah.

Mereka juga mahu pengisytiharan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon satu perintah untuk melarang beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk mengenai rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. - Bernama