X

Kindly register in order to view this article
!

Atasi segera masalah tanah runtuh di Taman Scientex

Che Zakaria ketika meninjau kejadian tanah mendap di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Rabu.
A
A

PASIR GUDANG - Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pemaju digesa segera menangani masalah tanah runtuh yang serius di Jalan Kedidi 1 dan 31 Taman Scientex di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, lebih membahayakan keretakan bukan sahaja berlaku di dalam rumah tetapi di luar dan belakang rumah sehingga bahagian bawah lantai berlubang.

"SUKJ dan MBPG yang meluluskan projek perumahan ini perlu turun melihat keadaan ini dan melakukan tindakan segera sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada pemberita selepas meninjau tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 dan 31, taman itu pada Rabu.

Pada Selasa penduduk di kedua-dua jalan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka dengan keadaan tanah runtuh yang berlaku sejak awal Januari lalu

Menurutnya, penduduk mendakwa, pemaju mengatasi masalah itu dengan menggunakan batu kerikil dan memancang kayu bakau di Jalan Kedidi 1 serta menggunakan kanvas menutup kawasan tanah runtuh di Jalan Kedidi 31.

Che Zakaria menunjukkan tanah yang mendap di belakang sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Rabu.
Che Zakaria menunjukkan tanah yang mendap di belakang sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada Rabu.

Tambah beliau, apabila keadaan semakin teruk dan kanvas dipasang koyak serta reput, beberapa aduan dibuat kepada pemaju dan MBJB tetapi tiada sebarang tindakan susulan dibuat sehingga kini.

Che Zakaria berkata, kerja-kerja membaiki tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 juga perlu disegerakan kerana batu kerikil dan kayu bakau yang diletakkan di situ tidak sesuai dan membahayakan penduduk terutama kanak-kanak.

Pihak berkenaan katanya, tidak boleh lepas tangan kerana masalah tersebut merupakan tanggungjawab mereka dan kerisauan kira-kira 5,000 penduduk di kedua-dua jalan itu yang rata-ratanya golongan B40 adalah berasas.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam syarikat perumahan tersebut tidak dapat dihubungi sehingga kini untuk mendapatkan penjelasan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!