Jerebu: Sekolah di Melaka beroperasi semula esok

MELAKA - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka akan beroperasi semula mulai Khamis.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pengoperasian semula itu selepas mengambil kira perkembangan semasa kualiti udara dan perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).
Menurutnya, pihak pentadbir institusi pendidikan diminta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi serta mematuhi arahan dan garis panduan semasa.
“Semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), perhimpunan serta kokurikulum mesti dihentikan serta-merta.
“Murid juga digalakkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap,” katanya pada Khamis.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya terus memantau tahap kesihatan anak masing-masing serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala berkaitan pencemaran udara.
Ujarnya, sebarang perubahan arahan pengoperasian akan dimaklumkan menerusi laman Facebook rasmi JPN Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

