Pulau Pinang taja bas bawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin

Pemandu bas dilengkapi dengan PPE sepanjang mengendalikan bas yang membawa pesakit Covid-19.
Pemandu bas dilengkapi dengan PPE sepanjang mengendalikan bas yang membawa pesakit Covid-19.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menaja tiga buah bas untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi membawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, tajaan bas berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM72,000 sebulan, yang diluluskan di bawah Perkhidmatan CAT (Congestion Alleviation Transport) dalam Belanjawan tahun 2021.

Menurutnya, tiga buah bas tersebut diambil daripada pengurangan bas CAT semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Memandangkan jumlah kes harian di Pulau Pinang mencecah ratusan kes sehari, kerajaan negeri berharap langkah proaktif ini sedikit sebanyak dapat meringankan kekangan sumber JKNPP.

"Tiga bas tajaan ini akan diguna untuk membawa pesakit positif Covid-19 ke pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan khususnya di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi dan Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Balik Pulau,"katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu.

Zairil berkata, tiga buah bas tersebut akan dioperasikan oleh Rapid Penang perjanjian CAT dengan Kerajaan Negeri.

Jelasnya, pemandu-pemandu yang bertugas untuk perkhidmatan tersebut telah diberi Latihan khas, sesi orientasi serta vaksinasi oleh JKNPP.

"Setiap bas akan dinyahkuman di pusat kuarantin selepas pesakit positif Covid-19 diturunkan di pusat kuarantin masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Pakaian PPE dan segala peralatan sokongan akan disediakan oleh JKNPP kepada Rapid Penang untuk menjamin keselamatan pemandu-pemandu tersebut,"katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap dengan penajaan tiga buah bas kepada JKNPP pada saat-saat kritikal ini sedikit banyak dapat mengurangkan masalah logistik yang dihadapi oleh JKNPP.

"Kami juga percaya dengan keberkesanan Rapid Penang yang membantu Kerajaan Negeri dalam usaha Penang Lawan Covid-19 sehingga berjaya,"katanya.