Kerajaan Pulau Pinang tetap mahu teruskan PSR

Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) akan diteruskan walaupun banyak pihak mendesak supaya ia dibatalkan. (Gambar kecil: Chow Kon Yeow)
Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) akan diteruskan walaupun banyak pihak mendesak supaya ia dibatalkan. (Gambar kecil: Chow Kon Yeow)
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk meneruskan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) walaupun banyak pihak mendesak supaya ia dibatalkan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan sebaliknya yakin dengan kemajuan teknologi dan kejuruteraan bagi membolehkan projek berkenaan dibangunkan tetapi tetap memulihara alam sekitar dan masyarakat.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah menafikan projek berkaitan akan memberi kesan malah pihaknya selalu berkongsi dengan masyarakat mengenai rancangan yang akan dilakukan.

"Ia termasuk mewujudkan habitat baru untuk hidupan laut dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan serta perniagaan untuk nelayan dan penduduk.

"Kita juga harus mempertimbangkan faedah sosioekonomi yang bakal diperoleh melalui PSR ke Pulau Pinang yang mempunyai nilai lebih besar daripada pulangan wang," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang dirangsang oleh pelaburan domestik serta antarabangsa akan memberikan kestabilan kewangan dan keselamatan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, melalui projek itu inisiatif hijau seperti pembangunan dan pengangkutan rendah karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan penyediaan ruang terbuka akan menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup serta kesejahteraan awam selama beberapa dekad yang akan datang.

Katanya, kerajaan negeri yakin semua yang dirancang itu akan dicapai dengan mematuhi sepenuhnya syarat kelulusan ketat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada keutamaan yang harus ditetapkan oleh kerajaan yang mana kelulusan projek ditarik semula walaupun semua syarat kelulusan telah dipenuhi.

"Walaupun sejak kebelakangan ini, terdapat banyak pihak yang menunjukkan ‘minat’ untuk membatalkan PSR dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan namun kerajaan negeri mengulangi bagaimana kita telah sampai sejauh ini dan ingin menjelaskan kepentingan projek tersebut," katanya.

Tambahnya, sebagai rekod kerajaan negeri telah mendapatkan kelulusan untuk Kajian Hidraulik, Laporan Penilaian Impak Trafik (TIA), Laporan Penilaian Risiko Trafik Marin (MTRA), dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

Sebelum ini Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa Kementerian Alam Sekitar dan Air membatalkan kelulusan awal yang diberikan Jabatan Alam Sekitar berhubung Projek PSR.

Ahli Parlimen PKR itu berkata, projek berkenaan perlu dikaji semula berikutan banyak keraguan selain memberi impak negatif termasuk kemusnahan kekal terhadap alam sekitar.