MDJ ambil inisiatif anjur kempen daftar vaksin Covid-19

Petugas meletakkan borang pendaftaran vaksinasi Covid-19 di salah sebuah rumah yang terlibat di Jerantut bermula Selasa dan Rabu. Foto Ihsan MDJ
Petugas meletakkan borang pendaftaran vaksinasi Covid-19 di salah sebuah rumah yang terlibat di Jerantut bermula Selasa dan Rabu. Foto Ihsan MDJ
A
A
A

JERANTUT - Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama jabatan kerajaan, di sini mengambil inisiatif mengadakan kempen pendaftaran vaksinasi dari rumah ke rumah bagi membantu orang ramai khususnya warga Jerantut mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

Yang Dipertua (YDP) MDJ, Khairun Nissa Aris berkata, wakil-wakil dari jabatan terlibat akan mengedarkan borang pendaftaran vaksinasi secara terus ke peti surat setiap rumah di 51 buah taman perumahan yang terlibat bermula Selasa dan Rabu.

Menurutnya, bagi taman-taman yang tidak tersenarai dalam kempen itu, pelaksanaan program pendaftaran imunisasi dilakukan melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) masing-masing di bawah seliaan pejabat Perpaduan Daerah Jerantut.

Borang pendaftaran vaksinasi diletakkan di dalam peti surat penduduk di 51 taman perumahan di Jerantut bermula Selasa dan Rabu.
Borang pendaftaran vaksinasi diletakkan di dalam peti surat penduduk di 51 taman perumahan di Jerantut bermula Selasa dan Rabu.

"Penduduk berusia 18 tahun ke atas adalah layak untuk mendaftar vaksinasi Covid-19.

"Penduduk dimohon untuk memberikan kerjasama dengan mengisi borang yang diedarkan dan kemudian meletakkan semula borang yang telah diisi tersebut ke dalam peti surat kediaman masing-masing bagi memudahkan pungutan borang dilakukan dengan kontak yang minimum," katanya pada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, wakil-wakil jabatan kerajaan akan hadir sekali lagi ke kawasan perumahan terlibat bagi memungut borang tersebut pada Khamis dan Jumaat ini.

"Penduduk juga boleh menghantar borang melalui WhatsApp atau emel seperti yang tercatat di ruangan bawah borang pendaftaran tersebut," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Antara taman terlibat dalam kempen itu iaitu Taman Alamada, Taman Ruby, Taman Desa Indah, Taman Feri Indah, Taman Temin Utama dan Taman Intan.