Universiti kita di pentas pengajian tinggi dunia

Kedudukan UUM naik sebanyak 200 anak tangga tahun ini dari kedudukan kumpulan 801-1,000 kepada kumpulan 601-800, sekali gus letakkannya sebagai salah satu 10 universiti terbaik di Malaysia.
Kedudukan UUM naik sebanyak 200 anak tangga tahun ini dari kedudukan kumpulan 801-1,000 kepada kumpulan 601-800, sekali gus letakkannya sebagai salah satu 10 universiti terbaik di Malaysia.
A
A
A

[INFOGRAFIK] Terdapat kira-kira 25,000 buah universiti dilaporkan berada di seluruh dunia.

Setiap satunya mempunyai kriteria tertentu yang mampu menarik minat orang ramai untuk mendaftar bagi menuntut ilmu.

Daripada jumlah tersebut, 1,000 daripadanya diiktiraf sebagai gedung ilmu terbaik di serata dunia.

Berdasarkan laporan “Kedudukan Universiti Dunia 2021 Time Higher Education”, beberapa buah universiti di Malaysia turut berada di dalam senarai berkenaan.

Tiga daripadanya merupakan universiti swasta manakala selebihnya adalah universiti awam yang terkenal dalam kalangan penduduk di negara ini.

Menurut Time Higher Education, kesemua universiti terpilih dinilai berdasarkan 13 penunjuk prestasi yang bertujuan menyediakan perbandingan seimbang dan komprehensif melibatkan kepercayaan pelajar, universiti, akademik, peneraju universiti, industri dan kerajaan.

Ia kemudiannya dipecahkan kepada lima kumpulan yang terdiri daripada pengajaran (persekitaran), penyelidikan (jumlah, pendapatan dan reputasi), rujukan (pengaruh penyelidikan), persepsi antarabangsa (kakitangan, pelajar dan penyelidikan) serta pendapatan industri (pertukaran pengetahuan).

Pada tahun ini, sebanyak 1,500 buah universiti membabitkan 93 buah negara telah dinilai namun hanya 1,000 universiti berjaya memasuki carta yang dimuatkan dalam laporan setebal 144 muka surat itu.

Artikel Berkaitan:

Berikut adalah kedudukan universiti kita di persada pendidikan tinggi antarabangsa berserta markah diperoleh berdasarkan lima kumpulan penunjuk prestasi yang dinyatakan tadi.

Pada tahun ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuat kejutan apabila berjaya meningkatkan kedudukannya di persada pengajian tinggi antarabangsa berbanding tahun lalu.

Universiti yang terletak di Sintok, Kedah itu melompat naik sebanyak 200 anak tangga dari kedudukan kumpulan 801-1,000 kepada kumpulan 601- 800, sekali gus meletakkannya sebagai salah satu 10 universiti terbaik di Malaysia.

Universiti lain kekal berada di tangga sama sejak tahun lalu dengan pungutan markah keseluruhan yang memberangsangkan.

Bagi kategori Asia pula, Universiti Malaya berada di kedudukan 49 dalam kategori universiti di Asia 2021 sebagaimana yang dikeluarkan oleh Time Higher Education.

Ia diikuti oleh dua universiti swasta tempatan iaitu Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Tunku Abdul Rahman, masing-masing berada di kedudukan ke 111 dan 119.

Penilaian “Kedudukan Universiti Asia 2021 Time Higher Education” melibatkan sebanyak 551 universiti di 30 buah negara Asia.

Time Higher Education menggunakan metode yang sama dengan penilaian Kedudukan Universiti Dunia 2021.

Untuk rekod, Malaysia mempunyai 20 buah universiti awam, 41 universiti swasta dan 34 kolej universiti swasta.

Di samping itu, terdapat 10 kampus cawangan universiti luar negara di negara kita seperti Monash University, University of Nottingham dan University of Reading.

Sementara itu, University of Oxford kekal sebagai universiti nombor satu terbaik dunia dengan markah sebanyak 95.6, menurut laporan “Kedudukan Universiti Dunia 2021 Time Higher Education”.

Universiti berusia 925 tahun yang terletak di United Kingdom itu berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat pertama selama lima tahun berturut-turut.

Tempat kedua diikuti oleh University Stanford dari Amerika Syarikat (AS) dengan markah sebanyak 94.9, diikuti oleh Harvard University (AS/94.8), California Institute of Technology (AS/94.5) dan Massachusetts Institute of Technology (AS/94.4).

Tsinghua University yang terletak di Beijing, China berada di kedudukan pertama sebagai universiti terbaik di Asia dan dan tempat ke-20 universiti terbaik dunia dengan pungutan markah sebayak 84.8.

Tempat kedua dalam senarai universiti terbaik di Asia jatuh kepada Peking University juga dari China dengan markah sebanyak 83.9.

Tempat ketiga pula jatuh kepada National University of Singapore dengan markah sebanyak 83.5, diikuti oleh University of Tokyo (Jepun/76) dan University of Hong Kong (China/75.2).