China pergiat kolaborasi antarabangsa hasilkan vaksin Covid-19

No Image Caption
A
A
A

BEIJING - Syarikat farmaseutikal China, Sinopharm dan Sinovac kini giat membuat persiapan bagi mempercepat pembekalan vaksin Covid-19 untuk program perkongsian vaksin global, COVAX.

Timbalan Pengarah Jabatan Industri Barang Pengguna Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China, Mao Junfeng berkata, usaha itu susulan vaksin Sinopharm dan Sinovac berjaya dimasukkan dalam senarai penggunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini.

“MIIT turut menyokong pembekal domestik memohon pensijilan WHO untuk lebih banyak talian pengeluaran dan bentuk dos, sekali gus memperluas pengeksportan vaksin kepada negara yang memerlukan,” ujarnya dalam satu temu bual.

Beliau berkata, tiga pengeluar vaksin China sedang bekerjasama dengan lapan negara untuk menghasilkan produk kesihatan berkenaan, sementara kolaborasi dengan sepuluh negara lain kini dalam proses perbincangan.

"Kami akan terus menggalakkan syarikat domestik memindahkan teknologi berkenaan kepada lebih banyak negara membangun, dan menyokong mereka mempergiat kerjasama kapasiti pengeluaran di peringkat global.

"Tujuannya adalah bagi memastikan vaksin mudah diakses dan mampu dimiliki oleh semua orang dan agihan dilakukan secara adil," jelasnya.

Setakat ini, tujuh jenis vaksin China sudah diluluskan untuk pemasaran bersyarat atau penggunaan kecemasan. - Bernama

Artikel Berkaitan: