X

Kindly register in order to view this article
!

Paderi OKU didakwa cabul lelaki

Jong Hong hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi pertuduhan kes cabul pada Selasa.
A
A

PETALING JAYA - Seorang paderi orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu warga Korea Selatan yang sebelum ini didakwa berhubung kes cabul, sekali lagi dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas pertuduhan sama terhadap seorang lelaki, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan tiada jurubahasa isyarat bertauliah hadir untuk membaca pertuduhan terhadap tertuduh, Jee Jong Hong, 54, maka tiada pengakuan direkodkan.

Justeru itu, Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan 27 Julai depan untuk lantikan jurubahasa isyarat bagi sebutan pendakwaan kes berkenaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin.

Namun, peguam bela, M Thanakumaran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan ikat jamin pada kadar rendah kerana tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dilakukan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin.

"Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi dan pengadu sepanjang kes ini berlangsung," katanya.

Pada 9 Februari lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang atas dakwaan meraba kemaluan, memeluk dan mencium secara paksa lelaki sama di sebuah rumah di Lorong Delima, Island Glades, Georgetown pada tahun 2000.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa isyarat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!