'Boleh berniaga, tapi tak boleh rentas negeri ambil durian'

Hasrat Mohd Faisal untuk berniaga durian tahun ini terbantut seketika selepas tidak mendapat kebenaran merentas negeri untuk mengambil durian di Johor.
Hasrat Mohd Faisal untuk berniaga durian tahun ini terbantut seketika selepas tidak mendapat kebenaran merentas negeri untuk mengambil durian di Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh dilihat memberi kesan kepada kumpulan peniaga kecil termasuk penjual buah durian apabila mereka gagal mendapatkan kelulusan merentas negeri bagi mendapatkan bekalan raja buah tersebut.

Walaupun diberi kebenaran membuka gerai, namuan kebanyakan mereka gagal mendapatkan surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merentas negeri, sekali gus menyebabkan peniaga bermusim ini terbantut untuk menjalankan perniagaan.

Malah lebih parah apabila golongan pekebun durian juga terpaksa berhadapan situasi sukar kerana jualan berkurangan dan terpaksa menyerap kerugian kerana buah tidak laku.

Bagi seorang peniaga durian, Mohd Faisal Mohd Said, 32, pelaksanaan kawalan menyeluruh PKP 3.0 menyebabkan dia gagal untuk menambah pendapatan sampingan dengan menjual durian di Alam Impian, Shah Alam, Selangor.

Mohd Faisal
Mohd Faisal

Katanya, perniagaan yang dilakukan bersama adiknya, Syafiq Mohd Said gagal dimulakan pada masa terdekat ini ekoran kegagalan mendapat kelulusan MITI untuk merentas negeri.

Anak kelahiran Kelantan itu berkata, pendapatannya juga semakin berkurangan apabila perniagaan kereta sewa yang diusahakannya di Kota Bharu juga sedikit terjejas ekoran pendemik Covid-19.

Katanya, usaha membuka Gerai Durian Shah di Shah Alam, Selangor di tepi jalan merupakan alternatif bersama dia dan adiknya menambah pendapatan bagi menyara keluarga.

Artikel Berkaitan:

Namun kali ini katanya, kegagalan memperoleh surat kelulusan merentas negeri daripada MITI menyebabkan dia tidak boleh keluar dari Kelantan bagi mendapatkan stok buah durian di Johor.

"Apabila PKP 3.0 secara menyeluruh ini dilaksanakan, saya dan adik tidak dapat berniaga durian kerana tidak boleh merentas negeri untuk mengambil stok durian di Johor.

"Saya sudah mohon surat dengan MITI tetapi gagal. Mungkin Julai nanti jika PKP penuh sudah dilonggarkan, kami ingin ke Johor mengambil stok buah durian di sana dan mungkin akan mula berniaga pada bulan tersebut," katanya sedikit hiba kepada Sinar Harian pada Isnin.

Gerai Durian Shah yang biasanya dibuka di Alam Impian, Shah Alam.
Gerai Durian Shah yang biasanya dibuka di Alam Impian, Shah Alam.

Media sebelum ini melaporkan peniaga durian di Pulau Pinang mengalami kerugian ekoran lambakan durian yang gagal dijual disebabkan pelaksanaan 'total lockdown'.

Ekoran itu, ramai kalangan peniaga durian merungut dan meluahkan rasa kebimbangan mereka di media sosial, sekali gus menarik perhatian media melaporkan isu tersebut.

Namun di sebalik isu itu, terdapat juga komen netizen yang menyatakan harga yang dijual di negeri tersebut adalah sangat mahal.

Sinar Harian difahamkan harga durian kampung yang dijual adalah sekitar RM15 sekilogram, berbanding harga pasaran bukan waktu kemuncak adalah sekitar RM6 atau RM7 sekilogram. Namun harga durian kahwin adalah mengikut gred masing-masing.

Sementara itu, seorang lagi peniaga durian, Rizky Adri Zainin Tawa, 28, berkata, pelaksanaan PKP 3.0 secara penuh pada mulanya agak membimbangkan dirinya kerana gagal mendapatkan surat kelulusan pergerakan daripada MITI.

Rizky
Rizky

Namun begitu menurutnya, dia bernasib baik apabila berjaya mendapat surat kelulusan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk bergerak ke Johor bagi mendapatkan buah durian daripada pekebun.

"Saya menjangkakan untuk mula berniaga pada Julai ini apabila harga menjadi sedikit murah ekoran buah yang semakin banyak di pasaran, seterusnya boleh menjual dengan lebih rendah kepada pembeli.

Gerai buah Rizky Durian di Taman Medan, Selangor.
Gerai buah Rizky Durian di Taman Medan, Selangor.

"Mungkin ia juga masa yang tepat apabila kes Covid-19 juga berkurangan dan orang ramai boleh kembali keluar rumah membeli durian. Bagi memudahkan pelanggan, saya juga menjual secara dalam talian yang menggunakan perkhidmatan delivery Foodpanda.my dan menerusi ejen dengan menawarkan harga yang sangat berpatutan," katanya yang berniaga di Jalan PJS 2, Petaling Jaya, Selangor.