Terima kasih polis bantuan HKL!

Zulkarnain ditemui dalam keadaan selamat oleh polis bantuan Hospital Kuala Lumpur
Zulkarnain ditemui dalam keadaan selamat oleh polis bantuan Hospital Kuala Lumpur
A
A
A

KUALA TERENGGANU - “Alhamdulillah, abang saya dah dijumpai. Terima kasih kepada polis bantuan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang banyak membantu sehingga dia kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat.”

Itu luahan gembira Nurul Jannah Abd Rahman, 35, setelah abangnya, Mohd Zulkarnain Abd Rahman, 40, yang dilaporkan hilang sejak 10 Februari lalu, dijumpai dalam keadaan selamat pada Ahad lepas.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kehilangan lelaki kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran selepas meninggalkan rumah pada 10 Februari lalu pada jam 7.40 pagi untuk membuang sampah.

Laporan Sinar Harian Jumaat lalu
Laporan Sinar Harian Jumaat lalu

Nurul Jannah berkata, Mohd Zulkarnain tidak pulang selepas itu sebelum mendapat maklumat abangnya itu menaiki bas ke Kuala Lumpur pada malam hari kejadian dan berusaha mencari di sana namun tidak ditemukan.

“Kami sekeluarga buntu tak tahu dia ke mana. Kami sentiasa berdoa dia berjumpa dengan orang baik-baik. Alhamdulillah, seorang polis bantuan, Aqeef Nazmi menjumpainya. Kami sangat terhutang budi pada dia dan pasukan polis bantuan HKL yang menjaga abang saya.

“Saya diberitahu abang berada dalam keadaan lemah masa dia dijumpai tapi mereka pastikan abang saya berada dalam keadaan selesa. Mereka juga hubungi ayah saya dan maklumkan berita gembira itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Jannah turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang ramai, kenalan dan ahli keluarga yang banyak membantu dalam usaha pencarian.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Adik cari abang hilang