Calon SPM, guru wajar disuntik vaksin lebih awal

Alimuddin
Alimuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan guru yang terlibat dalam peperiksaan itu wajar dipertimbangkan untuk disuntik vaksin Covid-19 lebih awal.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, langkah itu amat dialu-alukan bagi membolehkan calon dan guru menghadiri kelas bersemuka bagi membantu calon SPM.

Ahmad Shamsuddin
Ahmad Shamsuddin

Alimuddin bagaimanapun berkata, keputusan membenarkan mereka hadir ke sekolah masih bergantung kepada keputusan pihak berkuasa berkaitan berdasarkan keadaan semasa.

"Ia bergantung kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengikut kesesuaian dan keadaan semasa," katanya kepada Sinar Harian mengulas mengenai keperluan calon SPM dan guru terlibat supaya menerima vaksin lebih awal pada Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan Modal Insan Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Datuk Ahmad Shamsuddin Ramli bersetuju jika keutamaan vaksin diberikan kepada calon SPM dan guru terbabit.

Beliau berkata, kumpulan pelajar dan guru berkenaan perlu hadir ke sekolah lebih awal untuk membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang.

Menurutnya, keutamaan itu merupakan langkah terbaik bagi membendung penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Guru merupakan petugas barisan hadapan dalam sektor pendidikan manakala pemberian vaksin lebih awal kepada pelajar secara tidak langsung dapat memberi tumpuan terhadap peperiksaan.

"Mengambil contoh tahun ini terdapat juga pelajar yang dikuarantin semasa peperiksaan SPM," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Muafakat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar berkata, rasional keutamaan itu diberi kerana sekolah boleh dibuka semula lebih awal dengan memberi keutamaan kepada pelajar Tingkatan Lima.

"Ini sekali gus dapat memastikan persekitaran selamat untuk pelajar serta kestabilan ekosistem pendidikan. Kita harap kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya kepada kumpulan ini yang jumlahnya agak ramai setiap tahun," katanya.