MEDAC tawar kemudahan moratorium KPP 3.0

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menawarkan kemudahan penangguhan bayaran balik (Moratorium KPP 3.0) Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dalam usaha membantu meringankan beban kewangan koperasi yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

MEDAC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sebanyak 1,056 koperasi seluruh negara akan menerima manfaat daripada pelaksanaan Moratorium KPP 3.0 TMPSKM tersebut.

Sehingga 30 April, 2021, jumlah akaun pembiayaan TMPSKM adalah sebanyak 1,734 dengan kelulusan pembiayaan keseluruhan bernilai RM1.66 bilion.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan kemudahan moratorium PKP 3.0 di bawah pembiayaan TMPSKM itu diteruskan dengan menawarkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2021.

Menurutnya, koperasi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 hanya akan membuat bayaran balik pinjaman mulai 1 September 2021.

Bagi tujuan tersebut, katanya, proses permohonan akan dipermudahkan dan koperasi yang layak hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan iaitu permohonan rasmi daripada koperasi, Penyata Terimaan dan Bayaran serta penyata bank bagi tempoh tiga bulan secara dalam talian.

“Kemudahan moratorium PKP 3.0 ini ditawarkan kepada semua koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan di bawah TMPSKM,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, koperasi yang mempunyai akaun pembiayaan bagi aktiviti kredit, kelulusan moratorium PKP 3.0 tertakluk kepada koperasi yang menawarkan kemudahan moratorium kepada anggotanya.

Artikel Berkaitan:

“MEDAC berharap kemudahan moratorium PKP 3.0 bagi pembiayaan TMPSKM ini dapat membantu kelangsungan aktiviti perniagaan gerakan koperasi dan menyediakan kemudahan tunai tambahan untuk operasi koperasi,” katanya. - Bernama