TRXC tidak tergesa-gesa bangunkan baki tanah TRX

TRX - Foto sumber internet
TRX - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - TRX City Sdn Bhd (TRXC) tidak tergesa-gesa untuk membangunkan 30 peratus lagi baki tanah daripada 28.33 hektar kawasan Tun Razak Exchange (TRX).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmar Talib berkata tumpuan TRXC kini adalah menyiapkan fasa pertama pembangunan infrastruktur yang disasarkan pada suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata situasi pasaran hartanah juga menjadi faktor penting bagi perkembangan masa depan syarikat.

“Ini membabitkan kepentingan perniagaan, jika pasaran tidak begitu baik mengapa perlu saya jual sekarang. Sebagai pemaju bertanggungjawab, kami juga tidak mahu mewujudkan lambakan penawaran dalam pasaran.

“Selain itu, kawasan tersebut kini amat padat, kami tidak boleh membangunkannya sekali gus kerana perlu memberi ruang untuk pembinaan dan logistik,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Perjanjian Hartanah Bersama (CEA) zon kewangan TRX dengan tujuh penyewa di sini, hari ini.

Mereka adalah Lendlease Malaysia; Mulia Property Development; HSBC; Affin Bank Bhd; IJM Corp Bhd; Urusharta Jemaah Sdn Bhd dan CORE Precious Development Sdn Bhd.

Projek yang dilaksanakan kesemua syarikat itu mewakili 70 peratus daripada pembangunan TRX.

Azmar juga memaklumkan nilai pembangunan kasar (NPK) pembangunan semasa telah mencecah lebih separuh daripada yang disasarkan iaitu sebanyak RM40 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Kami hampir mencapai sasaran itu. Kami sedang membangunkan separuh daripada sasaran 24 juta kaki persegi kawasan lantai kasar, namun NPK yang kami catatkan kini melebihi separuh,” katanya.

Mengenai kemajuan, beliau berkata Menara Prudential dan Exchange 106, yang dibangunkan oleh IJM Corp dan Mulia Property, kini di peringkat akhir penyiapan, dengan penyewa pertama dijangka berpindah masuk pada pertengahan 2019. - Bernama