Petugas kesihatan redah sungai vaksinasi penduduk pedalaman

Sebahagian daripada 39 petugas Kesihatan Daerah Kuala Krai terpaksa menaiki bot demi melaksanakan program vaksinasi dengan meredah Sungai Kelantan ke kampung pedalaman pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Kampung Bahagia hari ini. Foto- Bernama
Sebahagian daripada 39 petugas Kesihatan Daerah Kuala Krai terpaksa menaiki bot demi melaksanakan program vaksinasi dengan meredah Sungai Kelantan ke kampung pedalaman pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Kampung Bahagia hari ini. Foto- Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Terpaksa menaiki bot menelusuri arus deras Sungai Kelantan tidak melemahkan semangat 39 petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Krai untuk ke Kampung Bahagia, dekat sini bagi melaksanakan Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Covid-19.

Malah perjalanan selama 45 minit itu bukannya mudah apabila mereka perlu membawa vaksin bersama peralatan perubatan dalam masa yang sama prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap pergerakan bagi mencegah penularan Covid-19 perlu dipatuhi

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Krai, Dr Hazura Mat Zubir berkata, Kampung Bahagia dan Kampung Mambong terletak jauh, oleh itu penduduk perlu menggunakan khidmat bot penambang atau melalui jalan balak yang hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menghadiri janji temu vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bandar Kuala Krai.

Katanya, Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Covid-19 pada Ahad memberi fokus kepada golongan muda berusia 18 tahun hingga warga emas berusia lebih 100 tahun.

“Kita ambil keputusan program vaksinasi ini perlu dibawa keluar dari PPV setelah mengambil kira kesukaran pengangkutan dan penduduk bukan daripada kalangan orang berada untuk ke bandar.

"Oleh itu kami mengambil inisiatif membawa petugas PKD Kuala Krai bersama vaksin untuk membolehkan suntikan diberikan kepada penduduk di perkarangan Masjid Kampung Bahagia bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Covid-19, di sini pada Ahad.

Program Khidmat Masyarakat Vaksinasi Covid-19 hari ini merupakan kerjasama PKD Kuala Krai bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dr Hazura berkata, selain penduduk daripada Kampung Bahagia dan Kampung Mambong, program berkenaan turut melibatkan penduduk dari 10 kampung berhampiran seperti Kampung Keluak; Kampung Rimau; Kampung Berhala; Kampung Bantuan; Kampung Pasir Tinggi; Kampung Pichong; Kampung Sri Tanjong; Kampung Johal dan Kampung Raba dalam Mukim Mambong.

Artikel Berkaitan:

“Kira-kira 400 penerima telah diberi suntikan vaksin Covid-19 hari ini,” katanya.

Dr Hazura berkata, selain program vaksinasi di perkarangan Masjid Kampung Bahagia, PKD Kuala Krai turut menyediakan perkhidmatan vaksin secara bergerak ke rumah penduduk yang mengalami masalah kesihatan termasuk yang tua dan uzur, sakit kronik dan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Dr Hazura berkata sehingga semalam seramai 27,000 atau 31.8 peratus penduduk yang berumur 18 tahun ke atas telah mendaftar sebagai penerima vaksin di Daerah Kuala Krai.

“Seramai 12,500 penduduk di Daerah Kuala Krai sudah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama setakat semalam,” katanya. - Bernama