Van 'Jom Vaksin' bawa penerima vaksin DUN Jelawat ke PPV

Van 'Jom Vaksin' yang membawa penerima vaksin DUN Jelawat ke PPV.
Van 'Jom Vaksin' yang membawa penerima vaksin DUN Jelawat ke PPV.
A
A
A

BACHOK - Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Jelawat kini tidak lagi perlu risau ketiadaan kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, apabila Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, kini menyediakan kemudahan van untuk tujuan tersebut.

“Langkah ini nyata mendapat sambutan baik, bukan sahaja dalam kalangan penduduk tetapi ramai juga anak-anak yang tinggal di perantauan menghubungi atau menghantar mesej ke Pusat Khidmat DUN untuk menguruskan ibu bapa mereka yang tinggal bersendirian, supaya diberi suntikan vaksin,” kata ADUN Jelawat Abdul Azziz Kadir kepada Bernama.

Abdul Azziz berkata, menerusi van dengan tulisan ‘Jom Vaksin’ itu, yang mengambil penduduk DUN Jelawat ke PPV Universiti Malaysia Kelantan (UMK), mereka juga membuat siar raya menggunakan pembesar suara di dalam kampung, bagi memberi penerangan secara langsung kepada penduduk mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin.

Seorang penduduk yang telah menggunakan perkhidmatan van itu, Ahmad Ismail, 71, dari Kampung Permatang Pasir Gunong berkata, dia sudah mendapat tarikh suntikan vaksin dan perlu hadir ke PPV UMK Bachok, namun bingung memikirkan cara untuk ke lokasi tersebut.

“Terima kasih kepada ADUN Jelawat Abdul Azziz Kadir, kerana sediakan perkhidmatan menghantar penduduk ini, memang amat memudahkan,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang turut menggunakan perkhidmatan itu, Jamilah Yaacob, 53, dari Kampung Telaga Ara berkata, selain memudahkan pergerakan penduduk, perkhidmatan van tersebut turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menyediakan pelitup muka, buku log, alat pengimbas suhu dan pensanitasi tangan.

“Perkhidmatan yang disediakan ini amat selesa serta patuh SOP, malah saya diambil dari rumah dan terus dihantar ke PPV UMK Bachok,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: