X

Kindly register in order to view this article
!

PKS luar bandar jadi mangsa kelemahan pengurusan krisis

Nordin Abdul Malek
A
A

IPOH - Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di luar bandar antara kumpulan yang terkesan teruk akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh disebabkan pengurusan krisis kerajaan lemah.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, kerajaan seharusnya mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan pengurusan krisis kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bukan kali pertama.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada usahawan PKS, mereka berdepan pelbagai cabaran untuk mendapatkan kelulusan beroperasi berbanding pelaksanaan PKP terdahulu.

"Situasi ini menyebabkan banyak pihak terutama usahawan PKS berada dalam keadaan keliru serta lambat mendapat kelulusan beroperasi seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Faktornya adalah ketidaktentuan pelaksanaan di peringkat MKN dan kabinet sendiri yang mengelirukan jabatan serta agensi di peringkat negeri mahupun daerah untuk meluluskan kebenaran beroperasi 17 sektor yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Nordin berkata, kecekapan pengurusan krisis kerajaan amat penting bukan sahaja dapat melegakan rakyat tetapi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti serta tahap kemampuan menangani krisis dan bencana di dalam negara.

Sementara itu, beliau menyifatkan pengurusan operasi sektor ekonomi peringkat daerah juga tidak berfungsi dengan baik kerana tiada badan penyelaras tertentu sebagai pemudah cara.

Katanya, keadaan itu menyebabkan petani dan pekebun kecil perlu menunggu selama tiga hari bagi mendapatkan kelulusan.

Jelas Nordin, kebanyakan agensi juga dilihat gagal menggerakkan tenaga kerja sepenuhnya di jabatan masing-masing bagi membantu usahawan PKS beroperasi.

Menurutnya, rekod dan data seperti maklumat pekebun, petani dan sebagainya yang ada sepatutnya membantu mempercepatkan pengesahan dan kelayakan permohonan beroperasi.

"Kerajaan sepatutnya menggerakkan jentera di peringkat setempat dalam membantu proses permohonan, pengesahan serta pemantauan agar lebih mudah.

"Penggunaan teknologi maklumat juga masih lemah apabila pemohon masih perlu memohon secara bersemuka kepada jabatan dan ia bercanggah dengan larangan pencegahan penyakit berjangkit Covid-19," katanya.

Beliau berkata, situasi yang berlaku dalam pengurusan PKP 3.0 ini telah memberi kesan besar kepada masyarakat terutama PKS sekali gus memperlihatkan kegagalan kerajaan menyelaras dengan baik.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!