Perda beri moratorium lagi

Khaliq Mehtab
Khaliq Mehtab
A
A
A

BUTTERWORTH - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sekali lagi bersetuju menggariskan beberapa bentuk insentif sokongan kepada usahawan serta penyewa gerai, premis, tanah dan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang terkesan.

Pengerusinya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, empat insentif telah disediakan dengan anggaran seramai 575 penyewa dan peminjam akan menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan sebanyak RM561,100.

Menurutnya, insentif sokongan itu akan berjalan selama tiga bulan bermula Mei hingga Julai depan.

"Perda selaku agensi kerajaan Persekutuan sentiasa peka dan memahami kesulitan yang dihadapi oleh usahawan dan penyewa-penyewa gerai, premis, tanah serta rumah PPRT Perda yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ketiga.

"Oleh itu, kita bersetuju untuk menggariskan beberapa bentuk insentif sokongan iaitu penangguhan dan penjadualan semula (moratorium) bayaran balik skim pinjaman Perda.

"Insentif ini akan melibatkan seramai 98 peminjam dengan implikasi kewangan sebanyak RM130,000," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Beliau berkata, Perda juga memberi pengecualian bersasar bayaran sewaan premis perniagaannya secara bersyarat.

"Penyewa premis perlu membuktikan perniagaan terjejas dengan pengurangan pendapatan selain perlu mengemukakan permohonan pengecualian dengan menghubungi ibu pejabat Perda.

Artikel Berkaitan:

"Insentif ini akan melibatkan seramai 368 penyewa premis dengan impliksi kewangan sebanyak RM341,000," katanya.

Khaliq Mehtab berkata, pihaknya juga bersetuju untuk memberi pengecualian bersasar bayaran sewaan tanah milik Perda dengan syarat penyewa perlu membuktikan perniagaan terjejas dengan pengurangan pendapatan.

"Mereka juga perlu mengemukakan permohonan pengecualian dengan menghubungi ibu pejabat Perda. Insentif ini akan melibatkan seramai 54 penyewa tanah dengan implikasi kewangan sebanyak RM73,000.

"Selain itu, kita juga memberi pengecualian serta-merta sewaan rumah PPRT Tok Alang, Seberang Perai Utara yang melibatkan seramai 55 penyewa miskin dengan implikasi kewangan sebanyak RM17,100," katanya.

Januari lalu, Perda telah mewujudkan moratorium dan pengecualian kepada usahawan, penyewa gerai, premis, tanah dan PPRT yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 2.0.

Insentif sokongan itu berlangsung selama tiga bulan bermula Januari sehingga Mac yang keseluruhannya bernilai RM561,100.