Putra rayu campur tangan Agong

Hamidah Osman
Hamidah Osman
A
A
A

IPOH - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memastikan pentadbiran kerajaan berada di landasan yang betul dalam menguruskan krisis negara ketika darurat.

Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman berkata, rakyat melihat keadaan begitu celaru dengan beberapa keputusan kerajaan dibuat oleh agensi-agensi berlainan.

Jelas beliau, kecelaruan itu tidak seharusnya berlaku ketika negara berada di dalam krisis kerana semua arahan perlu jelas supaya keadaan terkawal dan tidak mencetuskan panik.

"Yang di-Pertuan Agong menjadi harapan terakhir rakyat ketika darurat ini untuk memastikan pentadbiran kerajaan teratur dan tindakan segera diambil untuk memperbetulkan kecelaruan yang berlaku.

"Kuasa rakyat ketika ini amat terbatas disebabkan darurat yang dilaksanakan dan mereka terpaksa akur menerima arahan dalam keadaan bercelaru," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan supaya lebih tegas dalam memastikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi agensi utama dalam menentukan segala keputusan sepanjang tempoh krisis.

Menurutnya, sebagai contoh situasi yang berlaku ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ini memperlihatkan seolah-olah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) lebih berkuasa daripada MKN.

"Keadaan ini amat bahaya kepada negara dalam keadaan krisis seperti ini apabila terdapat lebih daripada satu jurucakap kerajaan dalam membuat keputusan. Perkara ini mesti dihentikan untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penutupan operasi sektor ekonomi dan sosial selama dua minggu termasuk kilang-kilang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

Hamidah berkata, pemain industri seperti kilang-kilang perlu berkorban bagi melandaikan lekuk Covid-19 untuk memastikan kelangsungan ekonomi untuk jangka masa yang lebih panjang.

Jelasnya, kerjasama semua pihak amat diperlukan ketika ini bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh akibat serangan pandemik ini.