Cadang waktu kerja 40 jam seminggu

MTUC yakin tempoh bekerja 48 jam seminggu sudah tidak relevan pada masa ini. Gambar kecil: Mohd Effendy.
MTUC yakin tempoh bekerja 48 jam seminggu sudah tidak relevan pada masa ini. Gambar kecil: Mohd Effendy.
A
A
A

SHAH ALAM- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pernah menghantar cadangan kepada kerajaan yang diketuai oleh Pakatan Harapan (PH) dalam meminda Akta Kerja 1955 daripada 48 jam kepada 40 jam waktu bekerja dalam seminggu.

Pemangku Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, cadangan pindaan akta berkenaan wajar dilaksanakan kerana ia bersesuaian dengan norma masa kini berbanding kehidupan sebelum pandemik Covid-19.

Mohd Effendy berkata, akta bekerja 48 jam seminggu itu telah digunakan sejak zaman kemerdekaan lagi.

“Pada zaman kerajaan PH, MTUC ada menghantar usul kepada jawatankuasa teknikal untuk meminda akta kerja (kepada 40 jam dalam seminggu).

“Dulu akta kerja 48 jam ditetapkan kerana mungkin dalam satu isi rumah itu hanya suami yang bekerja, manakala isteri tidak bekerja.

“Tetapi hari ini, suami dan isteri bekerja. Jadi kita perlu waktu bekerja dikurangkan supaya mereka mempunyai masa untuk keluarga. Jadi itu antara sebab kami meminta waktu bekerja selama 40 jam seminggu.

“Cuma sejauh mana cadangan itu dipersetujui kerajaan atau mana-mana pihak, itu kami masih belum mendapat maklum balas daripada kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Effendy berkata lagi, cadangan itu dilihat lebih baik berbanding cadangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu 45 jam seminggu pada 1 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, apabila Perdana Menteri mencadangkan pindaan akta bekerja selama 45 jam itu, secara dasarnya memang kami menyambut baik.

“Namun, cadangan yang diutarakan oleh MTUC lebih baik daripada itu, maknanya kami meminta waktu bekerja 40 jam seminggu.

“Tempoh bekerja 40 jam itu boleh pergi kepada lima hari bekerja. Secara dasarnya, ia akan pergi kepada semua sektor,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, jika saranan tersebut berjaya dipinda, ia tertakluk kepada implementasi majikan dalam sektor kerja masing-masing.

Pada 1 Mei lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum, tempoh bekerja dan akan berusaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa.