[DIKEMAS KINI] Tiada larangan jual arak di kedai serbaneka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tiada larangan penjualan arak di premis perkhidmatan perlu sekiranya syarikat perniagaan itu mempunyai lesen untuk menjual minuman keras dan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bermula 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, premis tersebut termasuklah pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka dengan sebahagiannya turut mempunyai lesen dan seksyen khas untuk menjual minuman keras.

Tambah beliau, perkara tersebut juga terpakai kepada rokok yang dijual dalam premis yang disenaraikan di bawah kategori perlu tertakluk kepada peraturan penjualan sepertimana yang telah ditetapkan

“Sidang Khas MKN pada 4 Jun telah memutuskan penjualan arak di kedai serbaneka seperti 7-Eleven dibenarkan sekiranya mempunyai lesen.

“Hanya kilang dan kedai yang khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan semua kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup serta-merta sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman, namun ia hanyalah untuk keperluan asas.

Sementara itu, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, semua pihak tidak perlu mensensasikan isu tersebut dan bersama-sama kerajaan memerangi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak dan rakan-rakan media yang cuba menghubungi dan mendapatkan komen daripada saya berkenaan isu ini.

“Saya sedang menjalani cuti sakit berikutan pembedahan mata yang dijalankan pada hari ini.

“Walau bagaimanapun, saya sudah berpesan kepada Timbalan Menteri dan juga pegawai tertinggi Kementerian untuk sentiasa memberikan penerangan yang jelas kepada masyarakat berhubung sebarang isu berkaitan KPDHNHEP,” jelasnya.