Kesal hospital gagal kesan anak patah kaki

Norliana mendukung anaknya yang mengalami patah kaki dan gagal dikesan pihak hospital ketika mendapat rawatan awal.
A
A

BENTONG - Seorang bapa kecewa apabila pihak hospital gagal mengenal pasti anaknya yang berusia enam tahun mengalami patah kaki ketika mendapatkan rawatan permulaan di hospital tersebut baru-baru ini.

Mohamad Saufan Januri, 28, dan isterinya Norliana Mat Isa, 25, sedih apabila anaknya, Abbsy Nauqid Mohamad Safuan menahan sakit selama hampir seminggu di rumah dengan hanya mengesot selepas pihak hospital gagal mengesan kakinya patah.

Mohamad Safuan berkata, anaknya yang terjatuh ketika bermain bola sepak pada 5 Februari lalu di bawa ke Hospital Bentong pada 6 Februari sebelum disahkan doktor tidak mengalami patah kaki.

Menurutnya, setelah yakin dengan keputusan doktor, dia mencuba perubatan alternatif dengan melakukan urutan namun dia masih tidak dapat berjalan.

"Saya berasa terkilan kerana doktor dan beberapa pembantu serta juru X-ray gagal mengesan patah dan menyatakan anak saya tidak mengalami apa-apa masalah sebelum membekalkan ubat demam sebagai persediaan.

"Jadi, saya hanya mampu mengurut dan selepas seminggu melihat keadaan anak saya semakin teruk dengan kesan lebam dan sakit berterusan, saya membawanya ke hospital semula.

"Apabila doktor lain yang memeriksa, dia mengesahkan yang imbasan X-ray sebelum ini dan terkini menunjukkan kesan patah. Saya terkedu ketika itu..Apa lagi yang hendak saya katakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohamad Safuan, berdasarkan penjelasan doktor daripada imbasan X-ray terkini menunjukkan kesan patah semakin teruk dan anak sulungnya yang turut mengidap sakit jantung itu perlu mendapatkan rawatan berterusan.

Menurutnya, akibat kejadian itu menyebabkan dia runsing mengenai tahap kesihatan anaknya itu yang turut perlu mendapat rawatan jantung.

"Bila perkara ini berlaku, anak saya tidak dapat bersekolah dan saya pula yang bekerja sendiri tidak dapat melakukan kerja secara berterusan.

"Saya risau kerana dia bukan sahaja mengalami masalah jantung tetapi sekarang patah kaki. Sepatutnya dengan bantuan imbasan X-ray,ia pastinya sudah mampu dikesan dan saya harap perkara ini tidak berulang kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Bentong, Dr Kamariah Ghazali berkata, pihaknya bersedia untuk berjumpa dengan keluarga kanak-kanak tersebut bagi membincangkan tentang kes ini.

"Saya telah pun menerima laporan kes ini dan saya berharap agar keluarga dapat berjumpa dengan saya untuk membincangkan dan menyelesaikan perkara ini," katanya.

Dr Sha’ari Ngadiman
Dr Sha’ari Ngadiman

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman turut menerima laporan kes tersebut dan tindakan akan diambil jika terbukti pihak hospital yang bersalah.

"Kita amat mengambil serius tentang laporan kes ini dan kini kita sedang melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini," katanya.