X

Kindly register in order to view this article
!

Klip video dakwa tangkap jika keluar selepas jam 6 petang palsu

A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan satu klip video yang tular di media sosial sejak Rabu mendakwa sesiapa yang keluar rumah selepas jam 6 petang akan ditangkap kecuali mempunyai urusan di klinik, hospital atau urusan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, klip video di laman Facebook 'Kepong Community' itu turut mendakwa mereka yang keluar rumah selepas jam 6 petang untuk membeli makanan akan ditangkap atas arahan Ketua Polis Negara juga adalah palsu.

"Saya mengesahkan bahawa video itu adalah palsu.

"Orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan dan keperluan asas pada waktu kedai-kedai tersebut beroperasi sehingga jam 8 malam sebagaimana termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertarikh 1 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan kertas siasatan juga telah dibuka.

Tegasnya, orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan sebarang berita palsu atau fakta yang belum disahkan sahih dengan pihak berkuasa.

"Sesiapa yang berniat menularkan berita tidak benar berkaitan Covid-19 untuk menyebabkan ketakutan dan kebimbangan kepada orang awam adalah melakukan sesuatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyebaran video tular itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!