8,209 kes positif, Selangor penyumbang utama

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 8,209 kes baharu positif Covid-19 dengan 103 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat 64 kes import melibatkan 56 rakyat tempatan dan lapan warga asing.

"Kes tempatan adalah 8,145 yang terdiri daripada 7,046 rakyat Malaysia dan 1,099 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah 595,374.

"Kes aktif di seluruh negara pula adalah 83,331 kes yang mana 880 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta 446 memerlukan bantuan mesin pernafasan," katanya.

Beliau berkata, kes kematian yang dilaporkan membabitkan 100 rakyat tempatan dan tiga warga asing.

"Kes kematian pada hari ini melibatkan 26 di Selangor, Kuala Lumpur (15) Johor (14), Sarawak (lapan) Kelantan (lapan), Sabah (tujuh), Negeri Sembilan (enam), Terengganu (enam), Pulau Pinang (empat), Kedah (empat), Melaka (dua), Pahang (dua), Perak (satu)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes pulih Covid-19 adalah 7,049 sekali gus menjadikan jumlah kumulatifnya 508,947.

Artikel Berkaitan:

"Ia bersamaan dengan 85.5 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penularan tempatan, beliau berkata, Selangor menjadi penyumbang utama statistik dengan 3,125 kes.

Ia diikuti oleh Kuala Lumpur (801), Johor (752), Sarawak (594), Negeri Sembilan (576) dan Kelantan (414).

Perak merekodkan 384 kes, Kedah (373), Melaka (322), Pulau Pinang (303), Sabah (203), Pahang (135) dan Terengganu (127).

Negeri dan wilayah yang merekodkan hanya dua digit kes baharu adalah Labuan (62), Putrajaya (33) dan Perlis (lima).

Sementara itu, terdapat 24 kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,261 kluster.

Sebahagian besar daripada kluster yang dikenal pasti membabitkan tempat kerja dengan 19 kluster.

Terdapat empat kluster komuniti dan satu kluster pendidikan lain turut dikesan.

"Jumlah kluster yang telah tamat adalah 1,578 manakala 683 pula masih aktif," katanya.