Raikan perbezaan agama, budaya

Aida (kiri) dan Ummu Khair masing-masing menerima sijil penghargaan daripada Masdiana (tengah)
Aida (kiri) dan Ummu Khair masing-masing menerima sijil penghargaan daripada Masdiana (tengah)
A
A
A
PENYERTAAN wanita dalam kalangan bukan Islam di negara ini telah mencipta kelainan dan keistimewaan pada acara kemuncak Hari Hijab Sedunia (Malaysia) 2019 yang berlangsung di Restoran Mohd Chan Dim Sum, Bandar Sunway, Petaling Jaya baru-baru ini.


Menariknya, wanita yang berketurunan Cina dan India yang hadir turut mengenakan selendang sebagai tanda sokongan terhadap program itu. Pada masa sama, mereka meraikan perbezaan agama dan budaya di negara ini.

Program anjuran bersama restoran Cina Muslim terkenal, Mohd Chan sebenarnya diraikan serentak di lebih 190 negara.

Pengerusi Jawatankuasa World Hijab Day Malaysia 2019, Sukmawati Budjaza berkata, Hari Hijab Sedunia yang bermula pada tahun 2013 telah diasaskan oleh seorang warga New York, Nazma Khan yang bermatlamatkan mahu menghalang sebarang diskriminasi terhadap wanita bertudung.

"Program ini telah berkembang ke seluruh dunia termasuk ke negara ini sehingga mampu menarik penyertaan wanita bukan Islam untuk memberikan sokongan.

"Sempena tema tahun ini free in hijab, ia memberi peluang kepada kita untuk terus mempromosikan hijab yang sesuai dipakai untuk pelbagai aktiviti," katanya.

Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor, Masdiana Muhamad dan wakil Restoran Mohd Chan, Datin Aishah Sim.

Wanita bukan Islam nampak ayu mengenakan selendang
Wanita bukan Islam nampak ayu mengenakan selendang

Kelainan

Artikel Berkaitan:

Acara kemuncak tahun ini menampilkan perbezaan apabila jawatan kuasa tampil memberi anugerah Breaking Streotypes & Shattering Boundaries kepada dua wanita hebat. Mereka ialah Leftenan Maritim, Aida Arzahari dan usahawan, Ummul Khair Afandi di atas kejayaan dan pencapaian mereka.

Berdasarkan rekod, Aida adalah wanita pertama di negara ini yang dilantik sebagai pegawai pemerintah kapal. Manakala Ummul Khair pula seorang usahawan wanita yang berjaya meskipun dilahirkan tanpa kaki.

Pihak jawatan kuasa turut menyampaikan anugerah 'sahabah' kepada Bkay Nair (bukan Islam) dan Zulaikha Abdullah (mualaf) kerana sentiasa menyokong aktiviti dan program Hari Hijab Sedunia sejak tahun 2013.

Bagi menghargai sokongan bukan Islam, mereka turut menobatkan top 3 pemenang hijab selfie kepada Lim Kian Ting, Vasuhi Muthiah dan Kong Pei Ying. Manakala bagi kategori wanita Islam pula dimenangi Siti Nur Afifah Muhad Shah, Nurasyikin Ramli dan Nur Aleeya Khairul Anuar.

Tetap mengekalkan kesopanan meskipun bertudung gaya moden
Tetap mengekalkan kesopanan meskipun bertudung gaya moden

Hormat

Sementara itu, Kian Ting, 52, mengakui, beliau selesa ketika berhijab dan kelihatan sangat anggun dan tampak lebih feminim.

"Ramai beri gambaran bila pakai hijab kita akan rasa panas tetapi bila saya rasai sendiri pengalamannya, ternyata ia berbeza.

"Meskipun saya bukan Islam, namun saya langsung tak rasa segan atau malu untuk memakainya. Bila saya pakai hijab tak bermaksud saya sudah peluk Islam," katanya yang turut memiliki hijab sendiri yang dibelinya di sebuah pasar raya lima tahun lalu.

Pertunjukan fesyen muslimah
Pertunjukan fesyen muslimah

Ejen hartanah yang kali pertama menyertai Hari Hijab Sedunia itu berkata, kehadirannya pada program itu bertujuan menyokong rakan-rakannya yang beragama Islam.

Sementara itu, Vasuhi, 54, yang merupakan ejen insurans pula mengakui kurang selesa mengenakan hijab ketika kali pertama menyarungnya pada majlis itu.

"Bagaimanapun lama-kelamaan saya rasa selesa dengan fabrik kainnya yang lembut dan tidak panas.

"Meskipun saya beragama Hindu, namun saya tetap menyokong program itu kerana kita perlu menghormati agama, adat dan budaya masing-masing-masing," katanya.

Bagi Siti Nur Afifah, 28, pula berbeza ceritanya. Beliau yang setia mengikuti program itu sejak tahun 2013 berkata, program Hari HIjab Sedunia Malaysia 2019 banyak manfaatnya apabila turut meraikan wanita yang tidak bertudung dan bertudung termasuk mengajar kaum Hawa untuk menghormati antara satu sama lain.Sempena Hari Hijab Sedunia 2019